ARTIKEL

Foto kredit: KBS | BERNAMA

KBS tunai hasrat lapan persatuan sukan miliki tempat latihan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meluluskan permohonan lapan persatuan sukan kebangsaan (PSK) untuk memiliki tempat latihan tetap, menerusi padanan inisiatif 1Sukan 1Fasiliti.

Menterinya Hannah Yeoh berkata venue bagi tujuan pembangunan prestasi dan bakat itu antaranya dipohon sukan larian berhalangan (Persatuan Sukan Larian Berhalangan Malaysia – MORSA) yang ditempatkan di  Kompleks Rakan Muda Bukit Kiara, serta bola korf (Persatuan Korfball Malaysia) di Dewan Tertutup Kompleks Sukan Negara (Panasonic) Shah Alam.

“Kita telah cuba buat padanan dan hasil daripada itu dan perbincangan di antara PSK serta pemilik fasiliti sukan, kita telah umumkan lapan (persatuan) mendapat fasiliti latihan dengan harga berpatutan.

“Hasrat saya adalah untuk membangunkan infrastruktur asas seperti ini kalau kita mahu majukan sukan di Malaysia.

Kalau pasukan kebangsaan tidak mempunyai tempat latihan bagaimana kita nak bantu mereka memenangi pingat,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan inisiatif 1Sukan 1Fasiliti di Institut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil di sini semalam.

Sukan lain membabitkan teqball (Persatuan Teqball Malaysia) di Akademi Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, sofbol dan besbol 5 (Persatuan Sofbol Malaysia) di Padang Sofbol Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sementara sukan terjun dan finswimming (Persatuan Finswimming Malaysia) di Akademi Sukan UPM.

Sukan drone soccer (Persatuan Sukan Udara Malaysia – MSAF) pula ditempatkan di MRANTI Park, Bukit Jalil dan hoki ais (Persatuan Hoki Ais Malaysia) di IOI Icespace Ice Rink, IOI City Mall, Putrajaya.

Beliau berkata antara sukan lain yang masih mencari fasiliti untuk dijadikan pusat latihan adalah sukan ping pong yang memerlukan ruang luas bagi memuatkan banyak meja, selain sukan gusti.

Menurut Hannah, di bawah inisiatif 1Sukan 1 Fasiliti itu pihaknya dalam masa sama sedang mengusahakan insentif buat pihak swasta yang menjalin kerjasama dalam memenuhi permohonan mendapatkan pusat latihan daripada beberapa PSK.

“KBS sedang dalam perbincangan dengan Kementerian Kewangan (MOF) untuk mencari kaedah terbaik yang boleh dimanfaatkan pihak swasta yang membantu,” katanya. – BERNAMA

BERITA LAIN

Zii Jia sertai skuad negara ke Piala Thomas 2024

KUALA LUMPUR: Persoalan mengenai penyertaan pemain profesional negara, Lee Zii Jia, dalam skuad Piala Thomas 2024 terjawab hari ini apabila namanya diumumkan dalam barisan pemain

BERITA TERBARU