KUCHING: Perlawanan tertunda Kuching City FC II (KC FC II) menentang Sarawak United FC II (SU FC II) akan berlangsung pada 21 Disember ini.
Pengarah Teknik FAS, David Usop memberitahu, perlawanan pelengkap jadual wakil Zon Selatan itu akan diadakan di Stadium Sarawak, Petra Jaya.
“Perlawanan melibatkan kedua-dua pasukan itu berlangsung pada tarikh tersebut. Ia merupakan aksi pelengkap jadual bagi KC FC II dan SU FC II,” ujar David kepada Arena Suara Sarawak.
Menurut David, kedua-dua pasukan terbabit sudah layak ke peringkat suku akhir.
Untuk rekod KC FC berjaya menumpaskan SU FC II (4-0) pada aksi pusingan pertama sebelum ini.
Justeru tambah David, perlawanan ulangan kedua-dua pasukan berkenaan sekali lagi bakal menjadi tumpuan peminat tempatan.
Setentunya KC FC II tidak rela rekod tanpa kalah mereka tercalar.
Bagi SU FC II pula, pasti mahu menjadikan pertemuan itu sebagai medan terbaik membalas dendam.