
KUCHING: Jersi baharu dengan dua warna berbeza iaitu putih dan hitam yang telah dilancarkan Kuching City FC (KC FC) dalam mengharungi kempen Liga Premier 2022 yang akan bermula Mac depan.
Warna putih akan digunakan untuk perlawanan di laman sendiri manakala warna hitam digunakan untuk perlawanan di tempat lawan.
Majlis pelancaran jersi tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Belia Dan Sukan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah di sebuah hotel terkemuka di bandar ini, malam tadi.
Pengerusi KCFC, Fazzrudin Abdul Rahman ketika berucap pada majlis tersebut berharap penggunaan jersi baharu itu akan menjadi cetusan semangat berganda kepada pemainnya.
“Kita amat berharap jersi baharu ini akan mencetus semangat kepada para pemain dalam mengharungi kempen Liga Premier 2022.
“Sekali gus, merealisasi impian pihak pengurusan agar skuad kendalian jurulatih berpengalaman (Irfan Bakti Abu Salim) dapat menempatkan diri untuk beraksi di Liga Super 2022,” ujar Fazzrudin.
Terdahulu beliau turut mengucap jutaan terima kasih kepada wakil penaja atas sokongan diberikan kepada pasukannya.
“Pihak kita ingin merakam jutaan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sarawak terutama Kementerian Belia dan Sukan Sarawak serta semua wakil penaja yang telah memberi kerjasama selain sokongan kepada kami musim ini,” tambahnya.