ARTIKEL

KDN digesa laksana penstrukturan semula ICQS Sungai Tujoh, atasi kesesakan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

MIRI: Isu kesesakan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujoh, sempadan Brunei bakal dibawa ke peringkat pusat untuk perhatian Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man berkata, beliau akan mengusulkan perkara tersebut agar diberi perhatian oleh KDN, bagi mengenal pasti langkah yang wajar diambil bagi menangani isu berkenaan atau sebarang perkara berbangkit.

Ketika mengadakan kunjungan ke pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Bahagian Miri, beliau berkata bahawa hasil perbincangannya bersama pegawai jabatan telah mencapai kata sepakat.

“Kita mencadangkan penstrukturan semula perlu dilaksanakan di pos sempadan berkenaan.

“Kami percaya bahawa ICQS Sungai Tujoh perlu mengalami perubahan struktur bagi mengatasi kesesakan dan mengurangkan masa menunggu, yang boleh mencapai sehingga tiga ke empat jam, sama ada dari Miri ke Brunei atau sebaliknya.

“Kami juga amat prihatin terhadap keluhan dan derita masyarakat kedua-dua negara yang terpaksa beratur lama terutama pada waktu puncak dan menjelang musim cuti perayaan, cuti sekolah atau cuti umum,” katanya.

Susulan itu, katanya, beliau akan terus berusaha menarik perhatian kerajaan terutamanya KDN mengenai keperluan meningkatkan langkah-langkah penyelesaian wajar.

Beliau berharap agar KDN dapat mengambil iktibar melalui langkah-langkah pelepasan kawalan di Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam di Kedah, yang telah memberi manfaat ekonomi kepada negara.

“Kita menyedari bahawa Miri mendapat manfaat ekonomi daripada pelawat dari Brunei, yang mencecah sehingga kira-kira 1.8 juta hingga hampir 2 juta pengunjung setiap tahun sebelum pandemik.

“Walaupun pandemik memberi kesan kepada industri pelancongan global, namun di sini kita melihat pemulihan sangat ketara dengan jumlah pengunjung hampir sejuta pada tahun lalu, sekali gus menunjukkan petanda positif terhadap perkembangan ekonomi negara,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, isu kesesakan di ICQS Sungai Tujoh sehingga kini masih menjadi masalah serius bagi rakyat kedua-dua negara.

Justeru, beliau akan terus memantau perkembangan semasa dan berusaha memberi lebih sumbangan kepada kemakmuran ekonomi di Miri.

LAIN-LAIN BERITA

Suasana hiba di kediaman Tun Taib

KUCHING: Suasana hiba dan sayu menyelubungi persekitaran kediaman Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, petang ini. Keadaan cuaca mendung turut seakan-akan turut berduka dengan

BERITA TERBARU

Suasana hiba di kediaman Tun Taib

KUCHING: Suasana hiba dan sayu menyelubungi persekitaran kediaman Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, petang ini. Keadaan cuaca mendung turut seakan-akan turut berduka dengan