Ke mana Jerip, Soon Koh membawa diri?

Peletakan jawatan Datuk Dr Jerip Susil dalam Parti Sarawak Bersatu (PSB) berita menggemparkan tetapi sudah dijangka oleh penganalisis politik Sarawak.

Keputusan beliau meninggalkan PSB kerana mengambil kira kepentingan kaum Bidayuh di Dun beliau, Dun Mambong.

Melalui surat tersebut beliau menyatakan sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari serta Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam mempertahankan, melindungi hak dan kepentingan Sarawak yang mempunyai visi, misi dan komitmen membangunkan rakyat Sarawak terutama bagi penduduk di kawasan luar bandar.

Hala tuju Jerip ketika ini masih menjadi tanda tanya kerana beliau tidak memberi sebarang komen semasa membuat kemunculan pertama pada majlis makan malam di hotel di Kuching selaku tetamu kehormat.

Ketika ditemui pihak media, Jerip tidak memberikan sebarang jawapan keputusan dan hala tuju beliau setelah meninggalkan PSB.

Pelawaan

Banyak mata yang memerhati dan menanti apakah yang akan berlaku selepas ini, adakah Jerip akan bertanding sebagai calon bebas atau bertanding atas tiket GPS, atau parti komponen GPS seperti PRS dan SUPP yang mempelawa Jerip menjadi ahli parti mereka.

Hanya masa sahaja yang dapat menentukan ke mana hala tuju Jerip.

Presiden PSB Datuk Seri Wong Soon Koh juga terkejut dengan tindakan Jerip meninggalkan PSB kerana Jerip merupakan salah seorang pengasas PSB yang dahulunya dikenali sebagai UPP.

Kata Soon Koh pada Persidangan Delegasi Tahunan PSB, Jerip tidak akan ‘melompat kapal’ terhadap sebarang tawaran dan jawatan.

Namum, bagi Soon Koh, Jerip mempunyai alasan yang tersendiri meninggalkan PSB.

Pada masa yang sama juga, ramai yang ternanti-nanti hala tuju politik PSB selepas ini.

Peletakkan jawatan Jerip dalam PSB boleh memberikan kesan domino kepada ahli parti lain untuk keluar dari parti demi kelangsungan politik mereka.

Ia juga memberi kesan kepada Datuk Seri Wong Soon Koh sendiri apabila beliau meletak jawatan sebagai Menteri Kewangan Kedua dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan e-dagang.

Kata Soon Koh, PSB bagaikan ancaman kepada GPS kerana menerima bekas ahli politik kom- ponen GPS menjadi ahli parti PSB.

Rombakan Kabinet

Jelas sekali khabar angin berkaitan rombakan kabinet Sarawak yang berlaku kelihatan benar. Wajar GPS melihat PSB sebagai anai-anai yang merosakkan GPS dari dalam? Walaupun tiada rombakan dalam kabinet Sarawak berlaku buat masa ini.

GPS pastinya mahu memperkuat parti mereka dari dalaman dan luaran.

Buat masa ini, setiap parti tidak kira dari kerajaan ataupun pembangkang pastinya memperkuat parti masing-masing bagi menghadapi pilihan raya negeri yang akan datang dalam menentukan hala tuju Sarawak dan masa depan rakyat Sarawak.

Suara Sarawak