Keadaan kewangan negeri sihat

KUCHING: Kumpulan penyokong kerajaan menyokong kenyataan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas terhadap Datuk Seri Wong Soon Koh yang mempertikai keupayaan Kerajaan Sarawak menanggung Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS).

Adun Batu Kitang Lo Khere Chiang berkata, Soon Koh sebagai mantan Menteri Kewangan Kedua yang berpengalaman harus tahu akan keadaan kewangan negeri.

Menurutnya, keadaan kewangan negeri Sarawak adalah sihat dan mempunyai simpanan yang terbanyak dalam Malaysia. “Dana sebanyak RM2.55 bilion yang diluluskan oleh Ketua Menteri untuk BKSS dan Bantuan Makanan yang diagih ke seluruh Sarawak datang daripada dana luar jangka.

“Dana luar jangka tersebut telah ada dalam bajet dan Soon Koh seharusnya tahu mengenai ini kerana beliau pernah menjadi Menteri Kanan sebelum ini,” jelasnya dalam satu sidang media kumpulan penyokong kerajaan di Dun di sini, kelmarin.

Tambah beliau, Soon Koh yang sebelum ini merupakan sebahagian daripada anggota kerajaan membuat kenyataan sedemikian sebagai berbohong untuk memburukkan kerajaan.