Keakraban pelbagai kaum keistimewaan Sarawak

BETONG: Keakraban antara masyarakat berbilang kaum dan agama merupakan keistimewaan Sarawak yang harus dipelihara sampai bila-bila, demikian kata Ahli Parlimen Betong Datuk Robert Lawson Chuat Vincent Entering.

Menurutnya, tradisi rumah terbuka yang menjadi budaya turun-temurun masyarakat di negeri ini pada setiap musim perayaan mewujudkan suasana meriah, penuh dengan nilai toleransi.

“Sebab itu konsep rumah terbuka dalam sambutan perayaan utama di negeri ini yang diraikan bersama oleh masyarakat berbilang kaum dan agama perlu diteruskan demi perpaduan masyarakat.

“Hal ini kerana perpaduan inilah yang menjadikan kita terus akrab seperti dalam satu keluarga meskipun bergaul dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas merasmikan majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Peringkat Kampung Melayu Betong yang berlangsung di Dewan Panglima Rentap Betong dekat sini, malam semalam.

Acara tahunan Kampung Melayu Betong itu menyediakan 15 gerai yang menghidangkan sajian raya untuk dinikmati kira-kira 500 penduduk yang hadir.

Sebanyak 15 gerai menyediakan sajian raya disediakan oleh badan bukan kerajaan serta persatuan di Kampung Melayu Betong menggunakan peruntukan yang dibekalkan untuk jamuan kepada tetamu yang hadir.

Pada majlis yang sama, seramai 34 penerima dalam kalangan pelajar cemerlang (UPSR, PT3, SPM, STPM dan pengajian tinggi tahun 2018 menerima insentif daripada jawatankuasa terbabit sebagai memberi perangsang kepada mereka yang aktif dalam pelajaran.

Sementara itu, Robert turut mengumumkan sumbangan RM5,000 kepada tabung pendidikan Kampung Melayu Betong sebagai galakan.

Hadir sama Adun Layar Gerald Rentap Jabu, Residen Bahagian Betong Friday Belik, Pegawai Daerah BetongbSofhi Jebal serta ketua jabatan, masyarakat dan kaum.