PULAU BRUIT: Penduduk Kampung Sedi menzahirkan penghargaan terhadap usaha gigih pasukan penyelamat memadam kebakaran belukar berhampiran kampung itu sejak beberapa hari lalu.
Ketua Kampung Sedi, Abdullah Mus berkata, tindakan pantas pasukan penyelamat membantu meredakan kebakaran itu daripada terus merebak ke kawasan penempatan penduduk.
Katanya, kebakaran kedua selepas insiden dua tahun lalu itu tidak mengakibatkan kemusnahan harga dan kemalangan jiwa.
“Saya mewakili seluruh penduduk Kampung Sedi mengucapkan terima kasih kepada pihak Bomba dan Penyelamat Daro, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Daro dan PBS Kampung Betanak, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis dan semua pihak yang membantu memadam kebakaran itu,” katanya ketika dihubungi.
Sebelum ini, kebakaran yang sama pernah berlaku di kawasan hutan belukar berhampiran kampung berkenaan.
Difahamkan, kejadian pada dua tahun lepas itu melibatkan kawasan yang lebih luas dan hampir memusnahkan kediaman penduduk kampung.
Dalam pada itu, Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan UKAS merangkap ADUN Semop, Abdullah Saidol turut berkesempatan meninjau lokasi kejadian baru-baru ini.
Beliau turut menasihatkan penduduk supaya jangan melakukan pembakaran terbuka yang tidak terkawal sehingga boleh mengakibatkan kebakaran hutan dan belukar.
