Kebakaran hutan Sedi terkawal

TANJUNG MANIS: Kebakaran yang melibatkan kawasan hutan seluas 300 ekar di Kampung Sedi dilaporkan terawal pagi ini hasil operasi bersepadu yang dilakukan sejak empat hari lalu.

Ketua Kampung Sedi, Abdullah Mus berkata, kebakaran hampir memasuki kawasan kampung semalam namun, berjaya dikawal sepenuhnya.

Bagaimanapun katanya, ia sukar diramal berikutan keadaan cuaca panas dan berangin sejak beberapa hari lalu.

“Operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela dan penduduk kampung. Walaupun terkawal, kami masih bimbang kemungkinan berlakunya kebakaran berulang.

“Keadaan persekitaran kawasan kampung berasap dan berjerebu. Operasi masih diteruskan dan berharap keadaan kembali pulih seperti biasa.

Keadaan terkini kebakaran hutan di Kampung Sedi.

“Sehubungan itu, saya juga mewakili penduduk kampung mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua wakil rakyat kami, Yang Berhormat (YB) Abdullah Saidol dan YB Yusuf Abd Wahab yang begitu prihatin dan sering bertanya khabar sejak beberapa hari lalu. Begitu juga dengan parti PBB dan Pejabat Daerah Daro,” katanya kepada wartawan suara Sarawak.

Semalam, Pemangku Ketua Balai Bomba Tanjung Manis, Majedi Tinggal berkata, pasukannya dikerahkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 4.52 petang 7 Ogos lalu dan operasi dilakukan secara bergilir-gilir.

“Kita berdepan masalah kekurangan air dan jarak sumbernya terlalu jauh. Api merebak pantas berikutan angin terlalu kencang dan sentiasa berubah-ubah. Keluasan kawasan itu juga besar jika dibandingkan dengan sumber bekalan air yang kita gunakan.

Beliau memberitahu, lokasi kebakaran terletak berhampiran jalan raya namun merebak pantas lebih 300 meter ke dalam hutan tebal.

“Operasi ditangguhkan semalam dan diteruskan hari ini. Setakat ini, kita menggunakan bantuan tangki air dari Balai Bomba Sungai Merah,” katanya.

Beliau memberitahu, pasukannya juga mengalami sedikit kesukaran memasuki kawasan yang terbakar selain perlu berhati-hati dengan keadaan di persekitarannya.

“Saya juga ingin mengingatkan orang ramai tidak membuang sampah sarap di kawasan ini selain mengelak melakukan pembakaran secara terbuka,” ujarnya.