Kebakaran kecil di Hospital Lawas berjaya dikawal dengan pantas

LAWAS: Tindakan pantas pengawal keselamatan dan anggota kesihatan yang bertugas, telah berjaya mengawal kebakaran kecil yang berlaku di Bilik Steril, Jabatan Suci Hama, Hospital Lawas, petang Khamis lalu menggunakan alat pemadam api.

Pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dalam satu kenyataan menjelaskan, bahawa kebakaran kecil yang berlaku di hospital tersebut adalah berpunca dari kebakaran pada alat penghawa dingin jenis ‘split unit’.

Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Jamilah Hashim dalam kenyataan tersebut berkata insiden yang berlaku sekitar jam 6.00 petang itu, telah mula disedari oleh pesakit dari wad berdekatan.

“Pada jam 6.03 petang, anggota kesihatan telah segera menghubungi pihak Bomba dan Penyelamat.

“Pada masa yang sama, tindakan evakuasi segera telah dilakukan terhadap semua anggota dan pesakit, mengikut protokol sedia ada,” jelasnya.

Tambahnya lagi pihak Bomba yang tiba sekitar jam 6.15 petang tersebut telah mengesahkan kebakaran telah berjaya dipadamkan.

“Pihak Bomba turut mengisytiharkan bahawa blok bangunan yang terlibat, adalah selamat untuk diduduki semula pada jam 7.30 malam dan tiada mangsa yang terlibat dalam kebakaran tersebut,” ujarnya

Jelasnya lagi punca sebenar kejadian kebakaran tersebut masih dalam siasatan lanjut pihak Bomba.