Kebanyakan pelajar sekolah menengah di Sibu dari kawasan berisiko, NGO mohon tangguh sesi persekolahan

SIBU: Susulan bimbang Kluster Pasai di sini, Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Cawangan Sibu merayu kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak untuk menangguhkan sesi persekolahan 2021 yang akan bermula pada 20 Januari ini.
Pengerusi SDNU Cawangan Sibu Chambai Lindong berkata, sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terbesar mewakili amanah dan tanggungjawab mereka untuk membawa suara komuniti kepada pihak berkuasa untuk tindakan dan pertimbangan selanjutnya.
“Majoriti tangguh memandangkan penularan Covid-19 semakin meningkat.
“Hal ini ditambah dengan kerisauan apabila ramai murid dari Pasai Siong kebanyakan bersekolah di sekolah menengah sekitar Sibu.
“Sekiranya diteruskan pembukaan sekolah, dikhuatiri akan wujud Kluster Sekolah yang jauh lebih berbahaya terutama kepada murid sekolah,” tegas beliau.
Menurut Chambai, SDNU Cawangan Sibu berpandangan sesi persekolahan disaran hanya akan diteruskan semula selepas penularan Covid-19 pulih sepenuhnya bagi Zon Sibu (Sibu, Kanowit dan Selangau) untuk mengelak murid, guru dan kakitangan bukan guru di sekolah terdedah kepada Kluster Pasai Siong dengan kes positif di Zon Sibu semakin meningkat pada dua hari yang lepas.
Rentetan tindakan itu, ujar beliau, ia juga memastikan tahap keselamatan dan kesihatan murid, guru dan kakitangan bukan guru sentiasa terjamin, selain mengelak berlaku penularan wabak Covid-19.
“Cadangan kami adalah untuk memberi keutamaan kepada pelajar yang menduduki SPM sahaja, murid atau pelajar lain boleh menggunakan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) digital dan akses penyampaian ilmu pendidikan dalam talian perlu dioptimumkan.
“Alasan munasabah kenapa perlunya sekolah tidak dibuka dahulu di kawasan Zon Merah ialah respons daripada ibu bapa/masyarakat/golongan pendidik mengenai kebimbangan jangkitan akan meningkat sekiranya sekolah dibuka khususnya di Zon Merah seperti Sibu,” tambah beliau.
Chambai juga menyarankan agar Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sibu, Kanowit dan Selangau perlu mendapat pandangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menetapkan tarikh permulaan baharu sesi persekolahan untuk Zon Sibu (Zon Merah).
Beliau mendedahkan terdapat juga dalam kalangan guru/warga pendidik/staf sokongan yang positif Covid-19 susulan Kluster Pasai.