KUCHING: Kerajaan Sarawak akan terus menghormati dan melindungi kebebasan beragama bagi memastikan rakyat dapat mengamalkan agama masing-masing dalam suasana aman dan harmoni.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kebebasan beragama merupakan antara nikmat yang dimiliki rakyat Sarawak, namun ia perlu disertai tanggungjawab untuk mengekalkan keharmonian.
“Setiap agama mengajar kita tentang belas kasihan, keamanan, menghormati jiran dan mengambil berat terhadap masyarakat.

“Nilai-nilai inilah yang perlu terus menjadi asas kehidupan kita,” katanya pada Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain bersempena dengan Sambutan Hari Malaysia 2026 di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Menteri yang bertanggungjawab terhadap Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).
Abang Johari berkata, dalam dunia yang semakin kompleks dan tidak menentu, keamanan serta kestabilan tidak boleh dianggap akan kekal dengan sendirinya.

Katanya, keamanan dan kestabilan yang dinikmati hari ini merupakan hasil usaha serta pengorbanan generasi terdahulu yang perlu dipertahankan oleh generasi masa kini.
“Kita sering bercakap tentang infrastruktur seperti jalan raya, jambatan, pelabuhan, tenaga dan perhubungan digital.
“Tetapi terdapat satu lagi bentuk infrastruktur yang lebih penting, iaitu kepercayaan; tanpa kepercayaan, pembangunan tidak akan membawa kita jauh,” katanya.
Sehubungan dengan itu, katanya, kestabilan politik memberi hala tuju, kestabilan ekonomi membuka peluang, manakala kestabilan sosial membina kepercayaan.
Jelasnya, institusi yang kukuh pula memberi keyakinan dan apabila semuanya bergerak bersama, rakyat akan mempunyai keyakinan terhadap masa depan.
Abang Johari berkata, antara kekuatan terbesar Sarawak bukan hanya terletak pada sumber alam atau kekuatan ekonominya, tetapi turut berpaksikan kepercayaan dan hubungan baik antara rakyat.
Katanya, generasi demi generasi telah membina kehidupan bersama berasaskan kesederhanaan, toleransi dan sikap saling menghormati.
“Dalam masyarakat yang berbeza agama dan budaya, perbezaan tidak seharusnya menjadi punca perpecahan; sebaliknya, ia boleh menjadi sumber kekuatan.
“Kita memilih dialog berbanding perpecahan, kefahaman berbanding prasangka dan saling menghormati berbanding sikap tidak bertoleransi; itulah cara Sarawak,” katanya.
Beliau berkata, tema Hari Malaysia tahun ini, ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’, amat bertepatan dengan semangat tersebut.
Katanya, kesejahteraan bukan hanya berkaitan pertumbuhan ekonomi atau pembangunan fizikal, sebaliknya setiap rakyat perlu berasa dihormati, diterima dan mempunyai harapan terhadap masa depan.
“Di Sarawak, kita telah lama hidup dalam suasana masyarakat yang berbilang agama, kaum, bahasa dan budaya.
“Kita berkongsi sekolah, tempat kerja, makanan, perayaan dan kehidupan bermasyarakat,” katanya.
Menurutnya, perpaduan tidak memerlukan semua rakyat menjadi sama kerana masyarakat boleh terus hidup bersama sambil mengekalkan perbezaan masing-masing.
“Kita tidak perlu menjadi sama untuk hidup sebagai satu masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata Kerajaan Sarawak telah meluluskan keseluruhan RM685 juta melalui UNIFOR sejak ditubuhkan pada tahun 2017.
Daripada jumlah itu, katanya, RM565 juta untuk pembinaan, penyelenggaraan dan naik taraf rumah ibadat agama-agama lain dan RM120 juta untuk pembangunan berterusan sekolah-sekolah mubaligh.
“Pada tahun 2026, Kerajaan Sarawak sekali lagi memperuntukkan RM120 juta kepada UNIFOR; daripada jumlah tersebut, RM90 juta untuk rumah ibadat agama-agama lain, RM30 juta untuk sekolah-sekolah mubaligh dan ini termasuk tambahan RM10 juta khusus bagi projek STEM,” katanya.
Bagi Fasa Pertama tahun ini sahaja, beliau berkata, sebanyak RM34,879,500 telah diluluskan kepada 148 projek rumah ibadat agama-agama lain di seluruh Sarawak.
Katanya, peruntukan ini bukan semata-mata mengenai bangunan tetapi satu pelaburan dalam komuniti.

