KUCHING: Kebebasan berkarya bukan tiket untuk memperlekeh institusi negara apabila Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan segera terhadap video pementasan yang didakwa mengandungi unsur penghinaan terhadap institusi Raja, negara Malaysia, dan Rukun Negara.
Beliau menegaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu menjalankan siasatan secara menyeluruh serta mengambil tindakan sewajarnya sekiranya wujud pelanggaran undang-undang.
Katanya, siasatan berkenaan perlu mempertimbangkan semua peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa dan berkaitan, termasuk Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, serta Akta Hasutan 1948.
“Saya memandang serius berhubung sebuah video pementasan yang dimuat naik di platform Instagram oleh pengguna The Fever Kinetic Theatre dua hari lalu yang mengandungi unsur penghinaan terhadap institusi Raja, negara Malaysia, serta Rukun Negara.”
“Perbuatan sedemikian adalah tidak bertanggungjawab, keterlaluan, dan sama sekali tidak boleh diterima,” katanya menerusi kenyataan media, semalam.
Dalam pada itu, Aaron memberitahu, kebebasan berkarya dan bersuara tidak seharusnya dijadikan alasan untuk memperlekeh institusi negara, mencetuskan provokasi, atau melakukan tindakan yang berpotensi menggugat keharmonian masyarakat.
Menurutnya, tiada ruang untuk mana-mana pihak mempermainkan perkara yang menyentuh institusi Raja, kedaulatan negara, serta asas yang membentuk kehidupan bernegara.
“Malaysia ialah sebuah negara yang mengamalkan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara,” jelasnya.
Malah, beliau berkata, tindakan undang-undang yang sewajarnya dan setimpal perlu diambil jika siasatan mendapati berlaku kesalahan.
Katanya lagi, ketegasan berkenaan penting sebagai peringatan bahawa kebebasan yang dinikmati rakyat datang bersama tanggungjawab untuk menghormati undang-undang, institusi negara, dan keharmonian masyarakat.
“Rukun Negara bukan sekadar lafaz yang dibaca dalam majlis rasmi.”
“Rukun Negara ialah ideologi dan falsafah kebangsaan serta panduan dalam pembinaan sebuah negara yang bersatu padu.”
“Ia telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 dengan matlamat utama membentuk perpaduan yang kukuh dalam kalangan rakyat Malaysia,” ujarnya.
Justeru, Aaron menyeru semua pihak termasuk penggiat seni, pencipta kandungan, dan pengguna media sosial supaya menggunakan ruang kebebasan yang ada secara bertanggungjawab.
“Kreativiti tidak harus menjadi lesen untuk menghina, dan kebebasan tidak boleh dipisahkan daripada tanggungjawab,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa masyarakat perlu memahami bahawa kebebasan dan tanggungjawab adalah ibarat aur dengan tebing yang saling melengkapi dalam memastikan keharmonian negara terus terpelihara.




