Kebenaran pulang ke kampung, rahmat buat mahasiswa

KUALA NERUS: “Tak sabar menunggu dua hari lagi untuk pulang ke kampung selepas lebih sebulan tidak berjumpa anak dan suami,” kata pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Hasnah Taureng.

Penuntut Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Sains Kesihatan berumur 33 tahun dari Makasar, Indonesia itu mengakui hatinya teramat rindu pada suami, Kurniauwan Benny, 40, serta dua anak lelakinya, Deswinto, 12, dan Mahanaim, 11, yang setiap hari tidak jemu bertanya bilakah beliau dapat pulang bagi menyambut Ramadan bersama-sama.

Justeru, beliau amat bersyukur apabila kerajaan Malaysia memberi kelonggaran kepada pelajar universiti untuk pulang walaupun perlu melalui saringan dan prosedur ketat bagi memastikan mereka benar-benar sihat dan bebas dari jangkitan COVID-19.

“Saya telah tiga kali batalkan tiket pulang ke Indonesia kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun setelah dimaklumkan oleh pihak universiti dapat pulang, hanya Tuhan yang tahu betapa gembiranya kami,” katanya ketika ditemui di kampus UniSZA, hari ini.

Perasaan sama turut dikongsi Nurul Farhana Nor Hisamudin, 24, dari Kuala Kangsar, Perak yang mengakui tidak lena tidur selepas mendengar pengumuman oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin Khamis lepas.

Menurut pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Syariah) itu, beliau sudah selesai mengemas kesemua barang walaupun hanya akan dibenarkan pulang pada 10 Mei depan kerana jadual pulang pelajar diatur mengikut zon dan tarikh tertentu.

“Orang yang paling gembira tentulah ibu kerana dia sebenarnya sangat risau keadaan saya berjauhan dari keluarga di musim wabak sebegini.

“Setiap kali menelefon saya akan cuba tenteramkan hatinya walaupun dalam hati saya sebenarnya bercampur baur antara sedih dan pilu apabila mengenangkan rakan-rakan lain ada yang dah balik lebih awal sebelum tempoh PKP fasa pertama,” katanya yang tidak sabar untuk berbuka puasa dengan juadah air tangan ibunya.

Bagaimanapun kegembiraan tersebut tidak dapat dirasai oleh pelajar Ijazah Sarjana Muda Antropologi Dakwah, Noor Asyiqin Nordin apabila beliau tidak dibenarkan pulang ke kampung halamannya di Johor Baharu kerana kawasan tersebut dikategorikan sebagai zon merah.

Walaupun sedih dan kecewa, Noor Asyiqin berkata beliau redha dan hanya mampu berdoa supaya wabak tersebut cepat-cepat hilang dan keadaan kembali pulih seperti biasa.

“Memang kecewa sangat kerana saya sudah siap mengemas semua barang Jumaat lalu kerana ingatkan dapat pulang dan ibu bapa di kampung pun sudah dimaklumkan. Tetapi bila jadi macam ni, ibu saya sangat risau kerana di UniSZA tak ramai pelajar yang tinggal dan keadaan pasti jadi sunyi sepi,” katanya.