Kebenaran untuk pelancongan domestik tepat pada masanya – Nancy Shukri

KUCHING: Kebenaran untuk pelancongan domestik amat bertepatan pada masanya kerana sektor pelancongan berupaya membantu negara mempercepatkan fasa pemulihan ekonomi, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato Sri Nancy Shukri.

Menurutnya, ini kerana sektor pelancongan adalah sektor yang melibatkan sub-sektor ekonomi lain seperti perhotelan, inap desa, pengangkutan, pengusaha makanan di restoran dan gerai serta pemandu pelancong.

“Sebagai menyokong pengumuman Perdana Menteri, saya menyarankan seluruh rakyat di negara ini mengambil peluang ini untuk sama-sama menyemarakkan semula industri pelancongan, seni, budaya dan warisan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nancy menambah keunikan produk-produk pelancongan yang ada di negara ini adalah untuk masyarakat kunjungi, terokai dan menikmatinya seperti muzium, keindahan alam semulajadi dan hasil kraftangan.

“Kepada penggiat industri pelancongan yang terdiri dari pelbagai segmen ekonomi dan masyarakat, teruskan usaha untuk menghasilkan produk yang kreatif dan inovatif,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata aktiviti ini perlu dijalankan dengan penuh rasa tanggungjawab dengan mengamalkan kebiasaan baharu kehidupan dan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kita masih lagi harus memastikan wabak Covid-19 kekal terkawal,” katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini menyatakan bahawa selaras dengan fasa penjanaan semula ekonomi negara dan tiada lagi sekatan rentas negeri, pelancongan domestik akan dibenarkan.