ARTIKEL

Dr Ammar Redza Ahmad Rizal

Keberkesanan Belanjawan 2027 perlu dinilai melalui pelaksanaan, bukan jumlah peruntukan – penganalisis

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Keberkesanan Belanjawan 2027 untuk Sarawak tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah peruntukan yang diumumkan semata-mata, sebaliknya sejauh mana dana itu diterjemahkan kepada pembangunan yang benar-benar dirasai rakyat, khususnya di kawasan pedalaman.

Penganalisis politik, Dr Ammar Redza Ahmad Rizal berkata, rakyat di luar bandar tidak menilai belanjawan berdasarkan angka berbilion ringgit tetapi melalui perubahan yang dekat dengan kehidupan mereka seperti jalan yang lebih baik, bekalan air sampai ke rumah dan bekalan elektrik yang stabil.

Menurutnya, pengumuman peruntukan besar tidak semestinya memberikan kesan sekiranya pelaksanaan projek lewat, tertangguh atau tidak mencapai sasaran.

“Persepsi rakyat sebenarnya dibentuk oleh pelaksanaan, bukan pengumuman. Mencurahkan wang memang langkah yang popular, tetapi ia bukan penyelesaian sekiranya projek akhirnya lewat atau tertangguh,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak bagi mengulas jangkaan terhadap Belanjawan 2027, semalam.

Pada masa yang sama, beliau berkata, perubahan naratif terhadap Sarawak sebagai ‘enjin pertumbuhan’ perlu diseimbangkan dengan keperluan pembangunan asas yang masih wujud, terutama di kawasan pedalaman.

Katanya, Sarawak kini memainkan peranan penting dalam ekonomi negara, khususnya melalui sektor tenaga dan gas, namun kedudukan itu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengurangkan keutamaan terhadap pembangunan asas.

“Ruang fiskal Kerajaan Persekutuan sendiri tidak besar. Jadi, apa yang diberikan kepada Sarawak akan menunjukkan di mana letaknya keutamaan sebenar Putrajaya,” katanya.

Beliau turut berpandangan bahawa persoalan peruntukan Persekutuan mempunyai dimensi politik kerana manfaat sesuatu projek lazimnya lebih dekat dengan wakil rakyat dan agensi yang melaksanakannya di peringkat lapangan.

“Di lapangan, yang hadir merasmikan projek dan menghulur bantuan ialah wakil rakyat serta agensi negeri. Merekalah yang dilihat sebagai patron.

“Jadi, peruntukan Persekutuan yang besar belum tentu diterjemahkan kepada sokongan kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU