Kebimbangan masyarakat Islam di Sarawak terhadap produk halal tidak akan timbul pada masa akan datang

KUCHING: Diharap keraguan dalam kalangan masyarakat Islam di negeri ini, terhadap sesuatu produk tidak lagi akan timbul pada masa akan datang.

Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak Datuk Haji Abg Mohd Shibli Haji Abg Mohd Nailie menjelaskan perkara tersebut akan berlaku apabila tertubuhnya Makmal Analisis Halal pertama di Sarawak ini.

Beliau menjelaskan perkara tersebut ketika berucap dalam majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) diantara Tabung Biaitulmal Sarawak dan Universiti Teknologi Mara, Cawangan Sarawak hari ini.

Tambahnya perkara tersebut merupakan satu usaha murni sebagai umat Islam apatah lagi melibatkan pelbagai kajian saintifik tentang pengesahan halal sesuatu produk.

“Kita sebagai umat Islam sememangnya diamanahkan untuk mencari jalan yang terbaik dalam merealisasikan apa saja yang berkaitan dengan aspek halal ini walaupun banyak cara dapat digunakan,

Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak Datuk Haji Abg Mohd Shibli Haji Abg Mohd Nailie

“Kita dapati dari segi perkembangan dan kesedaran halal dalam kalangan masyarakat begitu hebat pada masa kini dan usaha untuk mewujudkan makmal yang pertama di Sarawak ini satu usaha yang lebih dari kebiasannya,” katanya.

Oleh itu, jelas beliau usaha sedemikian harus mempunyai koloborasi strategik antara Institusi Pengajian Tinggi bersama dengan agensi lain kerana ia bukan perkara mudah untuk dilaksanakan.

“Tambahan operasi penyelidikan ini memerlukan penambahan kepada alatan-alatan teknologi dan kajian-kajian yang terkini dan sebagainya,

“Hal ini kerana individu yang mengeluarkan produk-produk pada masa yang akan datang memang tidak akan mempedulikan perkara seperti ini tetapi atas rasa tanggungjawab dan amanat kita sebagai umat Islam, kita akan laksanakan tanggungjawab kita dengan sebaiknya,” katanya.

Oleh itu melalui satu ikatan menerusi memorandum persefahaman ini beliau berharap agar usaha pembangunan industri halal di Bumi Kenyalang dapat diperluaskan dan dikembangkan

“Perkara ini beberapa tahun telah dicadangkan untuk diadakan koloborasi ini agar makmal halal ini dapat diwujudkan secepat mungkin,

“Kita juga mengalu-alukan koloborasi dari pelbagai pihak lain terutama melibatkan kajian dan pengesahan halal di Sarawak pada masa yang akan datang,

“Diharap mana-mana individu atau usahawan tidak perlu lagi merujuk ke tempat lain seperti ke Singapura untuk pengesahan halal produk mereka, kerana kita sendiri telah memiliki makmal analisis halal, ” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, beliau turut menekankan industri wakaf di Malaysia masih lagi dalam keadaan peringkat permulaan dan memerlukan usaha dari semua pihak untuk memajukannya.

“Kalau kita lihat industri wakaf di Malaysia masih lagi di tahap permulaan pada peringkat ini kita amat perlukan satu usaha bagi memantapkan industri ini supaya apabila sampai ke peringkat majoriti ini ia dapat diterima oleh semua umat Islam,

“Selain itu, ini juga merupakan salah satu usaha sama kita bersama dengan Majlis Islam Sarawak dalam memastikan mana-mana aspek melibatkan aspek halal akan mendapat perakuan pendaftaran terutama dari Baitulmal khasnya melibatkan perkara wakaf ini,” katanya.

Beliau turut memuji usaha UiTM yang diketuai oleh Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak, Prof Datuk Dr. Jamil Haji Hamali ini serta menggesa semua institusi pengajian tinggi yang lain untuk mencontohi usaha UITM ini dalam membangunkan industri halal dan wakaf pada masa yang sama.

Beliau juga menyeru mana-mana agensi atau badan -badan korporat yang ada agar dapat berkoloborasi dalam membangunkan dana wakaf di Sarawak ini untuk kepentingan bersama pada masa hadapan.

Suara Sarawak