ARTIKEL

Mancha (duduk tengah) menjawab soalan daripada pemberita.

Kecuaian pemandu punca utama kemalangan jalan raya

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Punca utama kemalangan jalan raya, khususnya semasa musim perayaan, ialah kecuaian pemandu seperti melebihi had kelajuan dan melanggar lampu isyarat, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata.

Beliau berkata, walaupun pelbagai usaha dibuat bagi menangani isu itu, namun masih ada segelintir pengguna jalan raya yang tidak mengambil iktibar daripada nahas yang berlaku.

“Kebiasaannya, antara punca berlakunya kemalangan jalan raya adalah atas faktor kecuaian pemandu sendiri seperti pemanduan yang laju dan melebihi had laju, memotong kenderaan lain dengan jarak tidak betul serta keadaan kenderaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program Lawatan Kerja Ke Lokasi Sekatan Jalan Raya (SJR) Kota Samarahan Sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Petugas Barisan Hadapan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Mancha menasihatkan pengguna jalan raya agar memastikan kenderaan masing-masing dalam keadaan baik dan diselenggarakan sebelum memulakan perjalanan pulang ke kampung.

“Ini kerana, kebanyakan rekod menunjukkan kemalangan yang berlaku adalah disebabkan oleh sikap pemandu itu sendiri selain keadaan cuaca yang tidak menentu,” katanya.

Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai agar bermain mercun mengikut peraturan yang ditetapkan demi menjaga keselamatan diri serta orang lain.

Selain itu, katanya, seramai 700 anggota polis Kontinjen Sarawak dari pelbagai cawangan bakal terlibat sepanjang Op Selamat 22 sempena Hari Raya Aidilfitri 2024 mulai 8 hingga 13 April depan.

“Tumpuan Op Selamat 22 sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2024 adalah di Jalan Persekutuan, Jalan Negeri dan Jalan Bandaran, khususnya di kawasan yang kerap berlaku kemalangan dan kesesakan lalu-lintas, termasuk kawasan perumahan dan penempatan orang ramai.

“Sebanyak 49 lokasi yang kerap berlaku kemalangan juga dikenal pasti dan akan diadakan rondaan semasa operasi dilaksanakan nanti.

“Operasi dijalankan bagi menurunkan kadar kemalangan jalan raya, menguatkuasakan undang-undang dan peraturan lalu lintas, mewujudkan rasa selesa dan selamat dalam kalangan pengguna serta mencegah jenayah pecah rumah berlaku.

“Kami juga meminta orang ramai supaya memberikan kerjasama dan memaklumkan kepada pihak polis apabila meninggalkan rumah kediaman di musim perayaan ini,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU