ARTIKEL

Kecurian kabel di stesen pencawang Kampung Padang Kelulit ganggu perkhidmatan Internet

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Kes kecurian kabel di stesen pencawang Kampung Padang Kelulit baru-baru ini telah menyebabkan penduduk di kawasan tersebut menghadapi masalah gangguan perkhidmatan Internet.

Ahli Parlimen Sibuti, Datuk Lukanisman Awang Sauni, berkata beliau telah menerima aduan mengenai masalah berkenaan daripada Ketua Kampung (KK) Kampung Padang Kelulit itu sendiri pada 22 Mei lalu.

“Saya telah menerima aduan daripada KK kampung berkenaan yang mengadu tentang masalah telekomunikasi yang mereka hadapi sejak seminggu lalu.

“Apa yang berlaku adalah terdapat kes kecurian kabel di stesen pencawang menara telekomunikasi di kampung berkenaan sehingga berlakunya gangguan Internet,” Lukanisman memberitahu dalam satu kenyataan.

Di samping itu, katanya, isu kecurian kabel elektrik turut menjadi masalah besar yang dihadapi di kawasan kampung berkenaan.

“Selain kecurian kabel pencawang, satu lagi masalah yang kerap berlaku adalah kecurian kabel elektrik oleh individu atau kumpulan tidak bertanggungjawab, dan kejadian sama sudah kerap kali berlaku kebelakangan ini.

“Perkara tersebut telah menyebabkan kerugian kepada kerajaan serta memberi kesan yang sangat besar kepada para penduduk di kawasan terjejas.

“Justeru, pihak berkuasa perlu memantau pusat pembelian barangan terpakai, iaitu besi buruk, dan pastikan kabel yang dicuri tidak dibeli kerana ia akan menyusahkan rakyat,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata bahawa kerajaan telah membina menara telekomunikasi di kawasan luar bandar, khususnya di kawasan Parlimen Sibuti, bagi memudahkan masyarakat menikmati kemudahan Internet dan komunikasi.

Namun katanya, perbuatan mencuri kabel, yang merupakan tindakan tidak beretika serta menyusahkan rakyat, telah membantutkan hasrat rakyat yang sekian lama mengimpikan kemudahan telekomunikasi yang stabil.

Kabel di stesen pencawang menara telekomunikasi di Kampung Padang Kelulit dipotong dan dicuri pihak tidak bertanggungjawab baru-baru ini.

BERITA LAIN

280 individu sertai Larian Amal Rakyat 2.0

KUCHING: Seramai 280 individu telah menyertai program Larian Amal Rakyat 2.0 yang berlangsung semalam. Program larian tersebut anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Sekolah

BERITA TERBARU