Kecurian kesembilan di menara Telekom Skim Penempatan Semula Bengoh (BRS) dan Dahan Estate

KUCHING: Menara Telekom di kawasan Skim Penempatan Semula Bengoh (BRS) dan Dahan Estate telah mengalami beberapa kerosakan dalam satu kes kecurian, baru-baru ini.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Willie Mongin berkata, ia merupakan kes kesembilan berlaku di kawasan tersebut, sejak setahun lalu.

“Saya dimaklumkan oleh Pengarah SKMM Sarawak Adiman Ajem baru-baru ini mengenai berlakunya kes kecurian dan vandalisme di menara Telekom kawasan BRS dan Dahan Estate.

“Menara tersebut baru sahaja dalam proses baik pulih dalam tempoh sembilan hari ini,” katanya menerusi satu postingan di Facebooknya petang semalam.

Menurutnya, kes kecurian dan vandalisme bukanlah satu perkara asing lagi yang berlaku di mana-mana menara telekom.

Katanya, kes kali ini telah melibatkan kerosakan bahagian mesin, radiator dan kecurian bahagian starter.

Terdahulu, beberapa menara tambahan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) bakal dibina di Puncak Borneo termasuk di kawasan BRS.

Willie yang juga merupakan Ahli Parlimen Puncak Borneo tersebut turut menyatakan bahawa timdakan itu adalah susulan gangguan penggunaan internet yang teruk di kawasan tersebut.

Suara Sarawak