Kedai runcit terbakar akibat rokok

KOTA SAMARAHAN: Tindakan cuai seorang lelaki yang merokok ketika mengisi minyak petrol menyebabkan sebuah kedai runcit di kampung Empila terbakar, sekitar jam 12 tengah hari, hari ini.

Kebakaran bagaimanapun berjaya dikawal oleh tindakan pantas penduduk kampung dengan menggunakan media pemadaman air sebelum ketibaan pasukan bomba ke lokasi.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri berkata, 10 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samarahan telah dikerahkan ke lokasi susulan mendapat laporan sekitar jam 12.06 pagi.

“Pemeriksaan awal mendapati kebakaran melibatkan kusyen dan kerusi kayu di sebuah kedai runcit berkeluasan 10×10 akibat daripada tumpahan minyak petrol.

“Kejadian mengakibatkan seorang lelaki mengalami lecuran di bahagian kaki kanan,” jelas kenyataan itu.

Tambahnya, mangsa pada awalnya dirawat oleh Unit EMRS Bomba sebelum dihantar ke Institut Jantung Negeri Sarawak untuk tindakan rawatan lanjut.

Dedahnya, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan akibat daripada kejadian.

Suara Sarawak