KUCHING: Kerja baik pulih salah sebuah kediaman di Lorong 17C, Skim Penempatan Semula Stutong menerusi Projek Kecil Luar Bandar – Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (MRP-PPRMS) berjaya disiapkan dalam tempoh dua minggu.
ADUN Kota Sentosa Wilfred Yap Yau Sin berkata, usaha tersebut dilaksanakan kerana mereka melihat rumah milik warga emas itu berada dalam keadaan yang daif seperti bocor dan sebagainya.
“Justeru, kita melaksanakan projek di bawah MRP-PPRMS dengan kos sebanyak RM15,000 melibatkan baik pulih bumbung, siling dan membaiki sedikit di bahagian dinding yang sudah rosak.
“Kerja-kerja baik pulih ini juga dijalankan secara gotong-royong oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Stampin Baru sekitar dua minggu lalu, dan berjaya disiapkan sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Penyerahan Projek MRP-PPRMS kepada Chang Sze Boon di Lorong 17C, di Skim Penempatan Semula Stutong, di sini, hari ini.
Projek baik pulih rumah tersebut telah mula dilaksanakan pada 21 Mei oleh DUN Kota Sentosa dan telah siap sepenuhnya hari ini.
Sehubungan itu, Wilfred juga memaklumkan bahawa beliau tampil untuk membantu rumah tersebut apabila mendapat maklumat daripada ADUN Pending Violet Yong Wui Wui.
“Dalam usaha membantu rakyat, tiada istilah politik. Kita akan membantu golongan yang memerlukan sekiranya mereka memenuhi syarat dan kriteria yang ditetapkan,” ujarnya.
