KUCHING: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) akan kekal sehinggalah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan, mengikut Perkara 18(1) Perlembagaan Negeri Sarawak, kata Speaker DUN Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.
Jelasnya, memandangkan perintah pengisytiharan darurat masih berkuat kuasa dan peruntukan-peruntukan pembubaran DUN telah digantung dan tidak mempunyai kesan oleh Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, maka kesannya adalah pelantikan Adun tidak akan tamat pada 6 Jun 2021.
“Ia akan kekal sehingga terbubarnya DUN melalui pengisytiharan Yang di-Pertuan Agong di bawah Seksyen 15 atau selepas 1 Ogos 2021 iaitu tarikh tamatnya darurat.
“Oleh itu, selepas 1 Ogos 2021 dan sekiranya perintah darurat tidak disambung, Pilihan Raya Negeri (PRN) hendaklah diadakan selaras dengan kehendak Perkara 21(4), Perlembagaan Negeri Sarawak dalam tempoh 60 hari dari tarikh tamatnya darurat pada 1 Ogos 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Asfia berkata tempoh hayat DUN Sarawak turut dilanjutkan sehingga proklamasi darurat tamat.
Beliau berkata telah menghantar notis makluman mengenai perkara itu kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia Datuk Haji Abdul Ghani Salleh melalui e-mel hari ini.
“Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diadakan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang diPertuan Agong selepas berunding dengan Yang diPertua Negeri Sarawak,” katanya.
Terdahulu, Asfia berkata pada 25 Mei 2021, Yang diPertuan Agong telah menasihatkan Kerajaan Sarawak agar berfungsi seperti biasa dengan kuasa di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.
Katanya ekoran pengisytiharan darurat pada 11 Januari 2021 hingga 1 Ogos 2021, kuasa untuk membubarkan DUN Sarawak terletak di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong setelah berunding dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Perkara 21(3) Perlembagaan Negeri Sarawak memperuntukkan tempoh jangka hayat bagi DUN Sarawak adalah lima tahun daripada tarikh persidangan pertama.
Memandangkan persidangan pertama selepas PRN yang lepas adalah pada 7 Jun 2016, maka tempoh lima tahun itu akan berakhir pada 6 Jun 2021. Ini bermakna, DUN Sarawak sepatutnya terbubar selepas 6 Jun 2021.
Namun disebabkan pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong yang berkuat kuasa pada 11 Januari 2021 dan juga penggubalan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, peruntukan-peruntukan undang-undang di dalam Perlembagaan Negeri Sarawak khususnya berkaitan dengan kuasa-kuasa bagi membubarkan DUN Sarawak serta mengadakan pilihan raya telah digantung dan tidak mempunyai kesan menerusi Seksyen 13 dan 15 Ordinan tersebut.
Justeru, Asfia berkata penggantungan berkenaan pembubaran dan pilihan raya DUN akan terus kekal selagi mana pengisytiharan darurat berkuat kuasa.
Walau bagaimanapun, katanya Seksyen 13 dan 15 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 juga memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan pembubaran DUN bagi sesuatu negeri termasuk Sarawak dan juga tarikh pilihan raya, jika pada pendapat baginda adalah sesuai bagi DUN tersebut dibubarkan dan pilihan raya diadakan dalam tempoh darurat.