Kedudukan politik GPS ketika ini sangat baik – Profesor James Chin

KUCHING: Kedudukan politik Gabungan Parti Sarawak (GPS) ketika ini sangat baik, jelas Pengarah Pengajian Asia, Universiti Tasmania Profesor James Chin.

Menurutnya, sokongan GPS terhadap Perikatan Nasional (PN) untuk memerintah di peringkat Persekutuan harus dibayar.

“Pada dasarnya saya menjangkakan banyak persetujuan sudah dibuat. Maksud saya, harga yang harus dibayar oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin atas setiap undi GPS… akan lebih banyak wang masuk ke Sarawak.

“Baru-baru ini kita melihat penyelesaian dalam isu antara Petronas dan Kerajaan Sarawak… Petronas berjanji akan membayar RM2 bilion.

“GPS malah sudah sedia bertindak di semua kawasan pembangkang, bahkan mereka (pembangkang) sendiri belum memutuskan untuk membincangkan isu tersebut

“Justeru, kedudukan GPS ketika ini sangat baik,” katanya dalam satu siri temu bual, hari ini.

Jelasnya, ini adalah isu yang sangat sensitif di Sarawak.

“Dan sekarang Kerajaan GPS mempunyai peranan penting dalam menentukan siapa yang bakal menguruskan negara tidak boleh dipandang rendah.

“Tetapi apa yang sangat menarik bagi saya, pasti banyak pihak di Semenanjung yang menyedari perkara tersebut,” ujarnya.

Tambah James, GPS yang berdiri dengan semangat Utamakan Sarawak bersedia menyokong Perdana Menteri selagi isu berhubung kepentingan Sarawak tidak diabaikan.

“Berhubung isu pengundi yang tidak senang dengan tindakan GPS menyokong PN yang mana Pas ada didalamnya, saya tidak pasti hakikatnya kerana setiap Pilihan Raya Negeri (PRN) ia hanya melibatkan isu tempatan, bukan isu nasional.

“Seperkara lagi, saya rasa pada dasarnya penduduk Sarawak mahukan autonomi yang maksimum, bukan terlalu menekankan pada kaum dan agama,” jelasnya.

Beliau menjangkakan sekurang-kurangnya tiga atau empat parti politik tempatan merancang untuk bertanding pada PRN akan datang.

Suara Sarawak