Kegagalan elektrik penyumbang utama kebakaran

KUCHING: Kegagalan elektrik antara penyumbang utama enam kes atau 37.5 peratus kejadian kebakaran rumah panjang di Sarawak pada 2020, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Khirudin Drahman.

Menurutnya, setakat 21 Disember lalu sejumlah 16 kes kebakaran rumah panjang berlaku di seluruh negeri berbanding 21 kes pada tahun 2019.

“Daripada 16 kes tersebut, enam kes berpunca daripada kegagalan elektrik, empat kes peralatan gas, tiga kes api berbara dan masing-masing satu kes pemetik api, pelita dan lilin.

“Bagaimanapun, tiada kes kematian dan kecederaan dilaporkan dalam kesemua kebakaran tersebut sekatat ini,” katanya pada Selasa.

Mengulas lanjut katanya, dalam tempoh tersebut bomba berjaya menyelamatkan sejumlah 333 pintu rumah panjang daripada kebakaran, manakala sejumlah 196 pintu terbakar.

“Sementara bagi anggaran kerugian, kebakaran 196 pintu itu melibatkan sejumlah RM10,953,436 atau 47 peratus. “Tetapi bomba berjaya menyelamatkan RM12,387,564 atau 53 peratus dengan 333 pintu itu daripada kerugian dalam semua kejadian kebakaran dalam tahun ini,” tambahnya.

Beliau menggalakkan penduduk membeli sekurang-kurangnya satu alat pemadam api bagi setiap rumah kerana ia boleh membantu menyelamatkan nyawa dan harta benda di peringkat awal kebakaran.

“Alat ini amat penting dan ia merupakan tanggungjawab penghuni sendiri dan bukannya menunggu kerajaan membekalkannya. “Rata-rata warga mampu membeli kereta, perabot, gajet dan sebagainya yang mahal tetapi tidak mampu untuk membeli seunit alat ini,” tegasnya.

Suara Sarawak