Keganasan rumah tangga di Sarawak menurun

KUCHING: Indeks jenayah terkini menunjukkan masalah keganasan rumah tangga (KRT) di Sarawak mencatatkan penurunan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, sebanyak 106 kes dicatat pada Januari lalu, dan mula menurun kepada 80 kes pada Februari, Mac (60 kes), dan setakat 15 April hanya 28 kes.

Menurutnya, faktor utama masalah ini (keganasan rumah tangga) adalah penyalahgunaan dadah, diikuti sifat panas baran pelaku terhadap ahli keluarga. “Berdasarkan statistik 1 hingga 15 April, empat daripada 28 kes melibatkan hubungan suami dan isteri. Sebahagian besar masalah kaganasan rumah tangga berlaku antara ibu bapa dan anak iaitu 12 daripada 28 kes,” katanya menerusi satu kenyataan kelmarin.

Fatimah berkata, masalah jumlah kes keganasan rumah tangga di negeri ini pada 2018 adalah 483 kes dan meningkat kepada 563 kes pada 2019.

Bahagian Miri jelasnya, berada pada kedudukan tertinggi dengan 109 kes (2019) diikuti 72 kes di Kuching.

Kes itu lebih tinggi di kawasan luar bandar iaitu 305 kes pada 2018 dan 309 kes pada 2019 berbanding 181 kes pada 2018 dan 254 kes pada 2019 untuk kawasan bandar.

Hubungi Talian Bantuan JKM 082-514141 dan Talian Bantuan JWKS- 082-448866 untuk bantuan.