MIRI: Sarawak Energy Berhad (SEB) menganggarkan mengalami kerugian sebanyak RM14,300 sebulan akibat kes kecurian elektrik bagi aktiviti perlombongan mata wang kripto yang dikesan di sebuah rumah kedai dekat Taman Jelita di Miri.
SEB dalam kenyataan hari ini berkata, seorang individu telah ditangkap dalam satu operasi anti kecurian kuasa oleh pihak SEB.
Menurutnya, kes mula dikesan apabila pihak SEB menerima aduan orang ramai melihat percikan pada wayar elektrik.
“Selepas mengetahui wayar disambung terus ke premis dan memintas meter, satu serbuan dilakukan.
“Lebih 80 pelayan perlombongan mata wang kripto dirampas bersama-sama peralatan elektronik lain di premis tersebut dan dianggarkan sebanyak RM14,300 kerugian yang terpaksa ditanggung pembekal setiap bulan,” katanya.
Jelasnya, laporan polis telah dibuat dan semua pihak yang terlibat akan dipanggil untuk siasatan.
Tambah kenyataan itu, mencuri elektrik merupakan jenayah berbahaya yang boleh dihukum di bawah Seksyen 33(5) Ordinan Elektrik.
Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan penalti sehingga RM100,000 dan/atau penjara lima tahun.

