ARTIKEL

Kegilaan kunjungi muzium di tangan Shahrum Yub

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

UMUM melihat muzium sebagai tempat yang membosankan.

Tidak kurang yang melihat ia sebagai lokasi yang suram, seram dan menakutkan.

Tanya sahaja kepada petugas muzium yang menyimpan pelbagai khazanah arkeologi dan artifak yang berusia ratusan malah ribuan tahun, pasti ada sahaja cerita-cerita seram yang singgah di halwa telinga.

Namun manusia yang seorang ini menukar persepsi penulis terhadap muzium.

Penulis malah meminatinya sejak zaman persekolahan lagi.

Perwatakan, ilmu, serta gaya uniknya mampu menggalakkan orang ramai untuk hadir ke muzium, malah menghidupkan muzium sebagai lokasi yang menghiburkan.

Sambil mendidik pengunjungnya dengan kekayaan khazanah, sejarah dan budaya.

Semuanya dilakukan dengan cara yang kreatif dan menarik.

Itulah penangan dan sentuhan oleh Datuk Shahrum Yub, bekas Ketua Pengarah Muzium Negara.

Ada yang mengatakan Shahrum memang dilahirkan untuk menjaga muzium.

Mungkin ada kebenarannya, kerana beliau bekerja di institusi itu sepanjang kariernya sebagai penjawat awam.

Dilahirkan di Tanjung Malim, Perak pada 21 April 1934, bapanya merupakan seorang guru biola, Yeop bin Rawang.

Manakala ibunya, seorang pelakon mak yong yang dikenali sebagai ‘Chek’.

Shahrum mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Pulau Tiga, Tepus Tanjung Belanja sebelum meneruskan pembelajaran di Sekolah Inggeris Methodist, Tanjung Malim dan di Sekolah Anderson di Ipoh.

Di sini beliau mencipta nama sebagai pelajar bijak apabila lulus peperiksaan Overseas School Certificate pada 1953 dan Higher School Certificate pada 1956.

Kecemerlangan ini membolehkan Shahrum dianugerahkan Biasiswa Kerajaan Negeri Perak untuk menyambungkan pembelajaran di luar negara.

Beliau memilih Universiti Leeds, England.

Beliau kemudian memperolehi ijazah Sarjana Muda Sastera (Antropologi), dan menjadi rakyat Malaysia pertama yang dianugerahkan Diploma Museologi daripada Muzium British.

Keunikan minat beliau ini menjadikan Shahrum buruan Tan Sri Mubin Sheppard, yang ketika itu berperanan sebagai Pengarah Muzium Negara.

Mubin mendatangi Shahrum di Universiti Leeds dan mempelawanya untuk menyertai Muzium Negara pada tahun 1962.

Pada mulanya beliau ditawarkan sebagai pengumpul artifak atau Kurator Galeri Orang Asli, tetapi kemudiannya dilantik sebagai Kurator Etnologi.

Pencarian bakat oleh Mubin ternyata berbaloi, kerana Shahrum merupakan watak penting yang berperanan mengumpulkan artifak dan koleksi-koleksi penting muzium, dan amat meminati tugasnya.

Beliau bertungkus-lumus menjayakan usaha itu.

Selepas mentornya bersara pada 1963, jawatan tersebut diambil alih oleh J.J. Lowry. Pada 1964, Shahrum memangku jawatan Pengarah sebelum disahkan jawatan pada 13 Mac 1967.

Tokoh yang terkenal dengan bow tie malah memiliki lebih 500 koleksi bow tie ini akhirnya dilantik sebagai Ketua Pengarah Muzium Negara pada 1 Januari 1972 jawatan yang disandangnya selama 19 tahun.

Sebelum itu, pada 1959, semasa masih menuntut di universiti, beliau bertemu jodoh dengan seorang wanita Inggeris, Maureen Shakesby.

Pasangan ini kemudian dikurniakan tiga puteri iaitu Yasmin, Sarah dan Deborah.

Tidak keterlaluan dikatakan, banyak pegawai-pegawai kanan Muzium Malaysia selepas itu merupakan anak didik Shahrum, namun mereka bukanlah seperti Shahrum, yang jiwanya begitu mendalam terhadap khazanah negara.

Beliau terkenal kerana idea-idea gilanya.

Beliau amat terbuka dan berani melakukan sesuatu yang bukan norma dan bertentangan dengan budaya masyarakat Malaysia ketika itu.

Ini termasuk menganjurkan Pameran Tengkorak dan Mumia, Pameran Topeng dan Khazanah Dari Kubur.

Penganjuran ini tidak bermaksud untuk menyesatkan pemikiran orang ramai dan pengunjung muzium, tetapi memberi pendedahan sebenar dan realiti kepada mereka tentang apa subjek tersebut, dan bagaimana ia menjadi budaya dalam masyarakat kita.

Seingat penulis, antara bahan pameran ialah toyol, pontianak dan jenglot yang sehingga mendapat kecaman banyak pihak.

Sebagai seorang yang percaya diri dan kreatif, Shahrum tidak ambil peduli akan kecaman dan kritikan beberapa pihak.

Yang pasti, pameran yang diilhamkannya mendapat publisiti meluas dan berjaya menarik jumlah pengunjung yang ramai.

Tidak bermakna beliau meminggirkan pameran yang lain, kerana lelaki berambut keriting ini juga mengusahakan pameran khas Seni Pertukangan Tangan, Manuskrip Melayu, Tamadun Islam Antarabangsa dan Pameran Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee.

Beliau juga menjadikan Muzium Negara sebagai lokasi pameran ular, permainan tradisonal dan wayang kulit. Shahrum berani menongkah arus untuk mencipta kelainan.

Kerana itu beliau pernah menganjurkan 24 pameran dalam tempoh setahun dalam usaha untuk menarik perhatian pengunjung dan untuk mencapai impian satu juta pengunjung.

Ternyata usaha beliau tidak sia-sia kerana pada waktu itu, wujud gelombang baharu berkait persepsi orang ramai terhadap muzium.

Dan ia menjadi destinasi wajib jika hendak ke ibu negara ketika itu.

Shahrum bersara daripada perkhidmatan awam pada tahun 1991 namun terus terlibat dalam pelancaran pameran popular merangkumi pelbagai topik menarik.

Ini menggambarkan lelaki yang gemar menggunakan sut tiga helai dan misai yang dihias kemas ini tidak lokek dengan ilmu.

Sepanjang usianya beliau telah menghasilkan beberapa naskhah buku dan antaranya termasuklah Mahmeri Masks pada 1965; Senjata Pendek Orang Melayu (1967) dan Mah-Meri Sculpture (1969).

Malah pelbagai tulisannya berkaitan sejarah, adat resam, seni dan budaya Melayu dapat dirujuk dalam majalah seperti Journal Art of Asia dan Federation Museum Journal.

Atas komitmen dan cintanya terhadap muzium dan seni budaya negara, maka beliau telah menerima beberapa anugerah.

Pada tahun 1978, beliau menerima Anugerah Ramon Magsaysay kerana berjaya menjadikan muzium hidup dan sarat dengan pengalaman.

Beliau turut dianugerahkan Dato’ Paduka Cura Simanja (DPCM) pada tahun 1981 yang membawa gelaran Dato’, dan pada 1989, menerima Anugerah Yayasan Tun Abdul Razak.

Jasa Shahrum cukup besar terhadap bidang muzium di negara ini.

Beliau berjaya memberi persepsi baharu, malah menarik minat pelbagai lapisan umur untuk mendekati muzium, bagi memahami sejarah itu adalah satu susur kehidupan yang perlu dipelajari dan dihayati.

Justeru, tidak hairanlah begitu banyak pihak yang sedih, apabila Ikon Muzium Negara itu menutup mata untuk kali terakhir pada usia 82 tahun pada jam 1.30 petang, Jumaat, 15 Disember 2016.

• Rudi Affendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan tv dan kandungan media di Sarawak.

BERITA LAIN

Kita saling mengingati

PADA minggu depan minggu terakhir 20 pelatih universiti akan menamatkan latihan industri di organisasi kami. Sesungguhnya kami berbangga kerana menjadi pilihan universiti meletakkan pelajar mereka

Affandi Tahir, rakam sejarah melalui pita

BELIAU bukan seorang penyanyi. Beliau juga bukan seorang pelakon. Tetapi namanya cukup popular suatu ketika dahulu. Bukan hanya kerana ketampanannya, tetapi kerana beliau penyiar radio

Telus, sahih dan tepat

SEBELUM ada komputer dan telefon bimbit canggih seperti hari ini, wartawan bergantung kepada komputer di pejabat untuk menulis berita. Dan biasanya wartawan hanya akan berada

Ketagih subsidi

ISU berkaitan subsidi kembali hangat diperkatakan. Adakah pemberian subsidi sesuatu yang harus terus diamalkan ketika beban hutang negara semakin membengkak? Bagaimanakah reaksi rakyat apabila subsidi

Tragedi dunia maya Si Kucing Gendut

FAT Cat, 21, atau nama sebenarnya Liu Jie, selebriti dunia gamer – permainan popular Honour of Kings – namanya tiba-tiba melonjak di dunia maya khususnya

Zaman makin canggih, adab makin mundur

KETIKA masih kanak-kanak atau zaman sekolah sekitar tahun 90-an atau awal 2000, kita amat menghormati orang lebih tua terutama ibu bapa. Ini kerana kebanyakan kita

BERITA TERBARU

RM35,000 untuk ganti paip graviti lama

PAKAN: Sejumlah RM35,000 telah diperuntukkan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Entaih bagi membeli dan menggantikan batang paip graviti lama sekolah tersebut untuk kegunaan seharian mereka.