Kegilaan wartawan memburu berita

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

ATAS nama berita, kebanyakan wartawan sanggup melakukan apa-apa sahaja.

Mereka bahkan sanggup menggadai nyawa demi memburu eksklusif.

Ini realiti yang berlaku dalam bidang kewartawanan.

Seorang rakan penulis ketika bertugas sebagai wartawan jenayah di Kuala Lumpur, pernah ditendang rusuk dan kepalanya ditekan ke bawah menggunakan lutut oleh anggota polis, kerana berada di kawasan operasi, ketika tembak-menembak antara polis dengan penjenayah tegar sedang berlaku.

Benar, beliau mendapat maklumat atau ‘hint’ daripada rakan polis ketika itu.

Tetapi tersalah masuk lokasi, sehingga berada di kawasan tangga yang kebetulan laluan masuk polis, sebelum adegan tembak-menembak berlaku.

Justeru untuk menyelamatkan keadaan, polis terbabit segera bertindak.

Nasib baik polis tersebut sempat mengenalinya. Ada rakan penulis yang lebih veteran, berbuat suatu tindakan yang lebih drastik.

Mereka, yang bertugas di akhbar tempatan Sarawak, memecah masuk ke dalam lapangan terbang Kuching (lama) – kini Pangkalan TUDM, dengan menceroboh pagar dawai yang berlubang.

Mereka berjaya masuk, namun untuk keluar, mereka juga berjaya dikesan.

Namun jurugambar yang terlibat berjaya menyembunyikan gulungan filem di dalam seluar dalam, dan hasilnya, pendedahan mengenai kelonggaran sistem keselamatan di pintu masuk Sarawk itu menjadi tajuk utama akhbar yang menggemparkan.

Sekumpulan rakan wartawan yang lain, termasuk jurugambar pula pernah hampir ditembak oleh pasukan khas polis yang beroperasi di Lahad Datu ketika kemuncak Op Daulat.

Ia semata-mata kerana mereka mengejar pada had laju yang tinggi sebuah kereta, yang ruparupanya dipandu sepasukan polis yang menyamar.

Mereka hanya dibebaskan kemudian dengan campur tangan Ketua Cawangan Khas Bukit Aman yang mengenali mereka, yang kemudian menjadi Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Itu antara kegilaan pengamal media, yang kadang-kadang mengabaikan nyawa sendiri.

Seorang wartawan dan jurugambar yang kini bertugas di sebuah akhbar nasional di Sarawak, pernah memasuki kubu kuat Abu Sayyaf di Pulau Jolo, Filipina dan berjumpa dengan ketuanya, Komander Robot – di tengah-tengah kebimbangan penculikan rakyat Malaysia untuk dijadikan tebusan di Sabah.

Seorang rakan penulis yang lain, pernah menjadi anggota media terawal membuat laporan di Ukraine ketika pesawat MH17 ditembak jatuh.

Beliau menceritakan bagaimana senapang dihalakan ke kepalanya dan beberapa yang lain oleh pasukan separa tentera Ukraine yang mengawal beberapa laluan menuju ground zero.

Ini kerana mereka terpaksa melalui kawasan bergolak.

Katanya, beliau hanya mampu berdoa agar tidak diapa-apakan, selain reda, jika umurnya cukup setakat itu.

Untuk laporan yang komprehensif dan cemerlang, ada wartawan yang sanggup menyamar sebagai pelanggan, bagi membongkar isu klinik haram menggugurkan anak.

Berita ini berjaya membuka mata bahawa wujud klinik seumpama ini yang mampu mengaut habuan yang lumayan; dan melanggar etika pengamal perubatan di negara ini.

Antara tindakan berani wartawan Malaysia, termasuklah mengikuti sekumpulan pendatang tanpa izin yang bekerja haram di Malaysia kembali ke Indonesia.

Laporan itu menceritakan apa yang dilakukan oleh pekerja-pekerja haram negara itu di negara ini, sehingga mereka berjaya membina rumah dan memberi kesenangan kepada keluarga di seberang.

Kerana itulah, mereka sanggup bermati-matian mempertaruhkan nyawa untuk bekerja di negara ini, biarpun sebagai buruh kasar.

Laporan itu kemudian menang anugerah kewartawanan terbaik Malaysia (Hadiah Kajai) dengan tajuk Pergi Miskin Pulang Kaya.

Percayalah, demi pembaca dan penonton, wartawan akan sanggup bertindak di luar batas yang sepatutnya.

Malah untuk “scoop”, mereka sanggup melakukan apa-apa sahaja.

Seorang rakan yang lain sanggup menjadi pemetik buah epal di Australia bagi mendedahkan sindiket memperdagangkan manusia dari Malaysia. Cerita berikutnya lebih menarik.

Malah ia benar-benar berlaku dan berjaya didokumentasikan.

Pada 1988, berlaku satu rompakan bersenjata di sebuah bank di negara itu.

Dua penjenayah yang identitinya dikenal pasti sebagai Hans-Jürgen Rösner dan Dieter Degowski telah merompak cawangan Bank Deutsche di Gladbeck, Utara RhineWestphalia.

Mereka kemudian menawan dua kakitangan bank sebagai tebusan.

Selepas beberapa jam, mereka menuntut sebuah kenderaan dan jumlah wang yang banyak.

Dan pihak polis menunaikannya.

Tidak lama selepas itu, kedua-dua perompak ini berjaya melarikan diri dan mereka disertai kekasih Rösner, Marion Löblich, sebelum merampas sebuah bas di Huckelriede, Bremen, yang dinaiki 32 penumpang termasuk kanakkanak.

Ketika berada di Bremen, pihak polis enggan menghampiri penculik secara terbuka.

Sebaliknya Rösner menghampiri sekumpulan pengamal media, dan menjawab segala pertanyaan, sambil memegang pistol.

Media bukan sahaja bebas mengambil foto, malah mereka sempat berposing bersama-sama tebusan yang ditawan di dalam bas.

Jurukamera tv turut bebas merakam apa yang berlaku, manakala soal jawab diadakan secara “breaking news” dengan beberapa stesen tv.

Kedua-dua penjenayah terbabit mengaku bahawa mereka tidak akan rugi apa-apa jika melepaskan tembakan dan membunuh para tebusan, kerana yakin, mereka akan ditembak mati juga akhirnya.

Ketika kumpulan penculik ini bergerak menuju ke Grundbergsee, kumpulan wartawan turut mengejar bas ini.

Mereka terus membuat liputan, malah sempat merakam tindakan polis menahan rakan penculik, Löblich yang ketika itu menggunakan tandas di sebuah stesen minyak.

Malah media sempat merakamkan kemarahan penculik, yang kemudian menembak mati seorang tebusan yang berusia 15 tahun, setelah Löblich lambat dibebaskan polis.

Pasukan penculik kemudian cuba melarikan diri ke sempadan negara Belanda, tetapi pihak berkuasa negara itu enggan berunding dengan mereka kerana mendapat tahu wanita dan kanak-kanak merupakan antara yang ditahan.

Keesokan paginya, penculik diberikan sebuah BMW 735i sebagai tukaran kepada tebusan bagi membolehkan mereka melarikan diri dengan dua tebusan wanita.

Ketika berhenti di farmasi di Wuppertal, sekali lagi mereka dikerumuni media.

Tanpa segan silu mereka bercakap dengan pihak media secara terbuka.

Pihak polis hanya melihat dari jauh.

Ketika inilah seorang wartawan Udo Röbel masuk ke dalam kereta dan memandu penculik ke sebuah kawasan rehat.

Kata Udo, tindakan beliau itu untuk mengelakkan situasi bertukar panas, kerana baginya, penculik sudah menunjukkan tanda rimas.

Kemudian para penculik cuba meneruskan perjalanan.

Ketika inilah kenderaan polis mula menghalang kenderaan-kenderaan media yang membuntuti kenderaan penculik.

Tidak menunggu lama, di kawasan A3, berhampiran Bad Honnef, tiga kenderaan yang membawa pasukan tindak khas SWAT telah merempuh kereta BMW yang dipandu penculik, dan berlaku tembak menembak.

Dalam operasi itu, seorang tebusan wanita berusia 18 tahun, Silke Bischoff telah tertembak di jantung dan mati di tempat kejadian.

Seorang lagi tebusan berjaya menyelamatkan diri, manakala semua penculik berjaya ditangkap.

Keberanian pihak media Jerman Barat, dan kesanggupan mewawancara penjenayah selain mengambil foto mereka daripada pelbagai sudut telah mengundang kecaman banyak pihak.

Ini belum lagi tindakan mereka berbaik-baik termasuk menyediakan panduan jalan dan berkongsi minuman, selain mengikuti kenderaan penculik, yang jelas membahayakan nyawa tebusan dan diri mereka sendiri.

Situasi ini menyebabkan Majlis Media Jerman kemudian mengharamkan sebarang wawancara dengan penculik jika situasi penculikan berulang.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berkaitan

Lain-lain

Si duri tajam

DURIAN bukan sekadar pemegang takhta raja buah, tetapi juga raja