Kehadiran artis antarabangsa dalam Aiffa promosikan Sarawak ke seluruh dunia

KUCHING: Kedatangan artis bertaraf antarabangsa dalam Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa Asean (Aiffa) merupakan satu platform mempromosikan Sarawak secara keseluruhannya.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, mempromosikan Sarawak di mata dunia bukan tugas yang mudah.

“Ini kerana kita perlu bersaing dengan negara lain seperi Thailand, Indonesia, Myanmar dan sebagainya.

“Oleh itu, kedatangan artis bertaraf antarabangsa ke Aiffa sebagai contohnya, dilihat mampu menyuburkan industri pelancongan di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama pelakon aksi terkemuka Hollywood, Steven Seagal yang menjadi undangan khas acara Aiffa edisi keempat hari ini.

Kelihatan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Steven Seagal pada sidang media di Kuching, hari ini.

Artis undangan khas Aiffa edisi pertama merupakan pelakon popular Filipina, Jericho Rosales, edisi kedua, Jackie Chan dan edisi ketiga ialah Donnie Yen.

Menurut Abdul Karim, kedatangan artis-artis ini memberi impak yang besar kepada industri pelancongan Sarawak.

“Pada Jumaat, video Steven melawat Kampung Budaya Sarawak mendapat 400,000 tontonan apabila dimuat naik ke media sosial.

“Maka, kedatangan Steven adalah potensi pemasaran yang besar kepada industri pelancongan Sarawak,” jelasnya.

Ujarnya, pelbagai tempat menarik di Sarawak dipromosikan kepada penggiat filem dari negara Asean sepanjang Aiffa edisi keempat ini.

Suara Sarawak