ARTIKEL

Dr Sim menghadiri perarakan sambutan ulang tahun kelahiran Dewa Tokong Nan Shi Shan Zheng Bao Gong, semalam.

Keharmonian aktiviti keagamaan buktikan kekuatan Sarawak berbilang kaum

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Keharmonian pelaksanaan aktiviti keagamaan yang melibatkan penyertaan masyarakat pelbagai kaum membuktikan kekuatan Sarawak sebagai negeri berbilang agama dan budaya, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

Beliau berkata aktiviti keagamaan termasuk perarakan telah lama berlangsung secara aman dan harmoni dengan penyertaan anak-anak Sarawak daripada pelbagai latar belakang etnik.

“Di sesetengah tempat, aktiviti keagamaan mungkin berdepan sekatan atau halangan. Namun, di Sarawak kita tidak menghadapi perkara sedemikian.

“Semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk ini merupakan antara kekuatan terbesar Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri perarakan sambutan ulang tahun kelahiran Dewa Tokong Nan Shi Shan Zheng Bao Gong, semalam.

Dr Sim berkata Kerajaan Sarawak turut memberi perhatian terhadap pembangunan semua komuniti termasuk aspek pendidikan dan hal ehwal agama menerusi pelbagai bentuk bantuan, termasuk yang disalurkan melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).

Katanya, kejayaan sambutan ulang tahun kelahiran Dewa Tokong Nan Shi Shan Zheng Bao Gong yang berlangsung dalam suasana aman, harmoni dan teratur turut mencerminkan semangat tersebut.

Beliau berkata penyertaan golongan muda dalam aktiviti berkenaan penting bagi memastikan kelangsungan warisan masyarakat majmuk Sarawak selain menjadi sebahagian daripada usaha pembinaan masyarakat dan negeri.

“Penyertaan anak-anak Sarawak daripada golongan muda amat penting bagi memastikan warisan masyarakat majmuk ini terus hidup dan diwarisi generasi akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Sim berkata banyak tokong dan rumah ibadat di Sarawak mempunyai sejarah panjang yang menjadi sebahagian penting warisan budaya dan keagamaan negeri itu.

Sehubungan itu, beliau berkata warisan berkenaan perlu dipelihara, diteruskan dan dibangunkan untuk generasi akan datang.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Langgur ngemanah ICQS Biawak agi dipansik

KUCHING: Langgur ngemanahka Kompleks Imigresyen, Kastam, Kuarantin enggau Pengelikun (ICQS) Biawak agi dipansik nengah ‘feasibility study’ Pelin Besai Pemansang Kandang Menua Sarawak. Menteri Dagang Temuai,