Kejayaan Macgres, Nabiatul diiktiraf

SERIAN: Kemenangan dua murid SK Temong di sini dalam Festival de Cinema Escolar de Alvorada (Fecea) baru-baru ini membanggakan komuniti Bidayuh, kata Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datuk Amar Michael Manyin Jawong.

Sehubungan itu katanya, kedua-dua murid itu akan menerima insentif bagi mengiktiraf pencapaian mereka memenangi Anugerah Filem Terbaik Juri (Kategori Sekolah Rendah) di Brazil baru-baru ini.

“Saya akan berjumpa dengan dua murid dari sekolah rendah itu untuk mengucapkan tahniah serta mengumumkan insentif berkenaan bagi menambah jumlah hadiah yang dimenangi.

“Pencapaian ini amat membanggakan komuniti Bidayuh kerana ia bukan pencapaian kecil tetapi anugerah di peringkat antarabangsa” katanya.

Beliau berkata demikian berucap di rumah panjang Kampung Tema Saan selepas merasmikan Gereja St Paul yang telah siap dinaik taraf di sini pada Ahad.

Terdahulu, Macgres Sawet dan Nabiatul Dania Zulfiqa Mohd Zulfadhli melakar sejarah apabila filem pendek animasi mereka bertajuk Batuh Bijanji (The Promised Stone) memenangi Anugerah Filem Terbaik Juri (Kategori Sekolah Rendah) dalam Fecea di Brazil.

Manyin yang juga Adun Tebedu menjelaskan, dua tahun lalu SK Temong pernah memenangi anugerah dalam satu pertandingan peringkat negeri anjuran kementeriannya.

Menurutnya, selain memenangi hadiah RM2,000, sekolah tersebut turut menerima tambahan RM10,000 susulan pencapaian mereka. “Sekolah ini (SK Temong) boleh dikatakan sebagai sebuah sekolah terbesar di kawasan Tebedu dengan jumlah muridnya sekitar 200 orang.

“Saya banyak memberikan perhatian kepada SK Temong. Baru-baru ini mereka menerima sembilan komputer dan sebuah mesin pencetak,” jelasnya. Selain itu Manyin memberitahu, SK Temong dicadang dinaik taraf dengan menambah sebuah lagi blok tambahan.

Dalam perkembangan lain, Manyin menggesa ibu bapa terutama di kawasan Tebedu menggalakkan anak-anak mereka menyertai aktiviti keagamaan di gereja. “Ini kerana agama memainkan peranan penting dalam membangunkan perwatakan anak-anak.

“Saya ingin mengingatkan rakyat agar sentiasa taat dan setia kepada agama. Tidak kira apa agama anda, kerana ia menjadikan kita saling menghormati dan dapat berfikir secara waras,” ujarnya lagi.

Projek menaik taraf Gereja St Paul Kampung Tema Saan yang berusia lebih 50 tahun itu dilakukan dalam empat fasa bermula 2019 dengan kos lebih RM200,000.

Setiausaha Politik Ketua Menteri Dr Simon Sinang Bada; Pemangku Pegawai Daerah Tebedu Joseph Liaw; Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Serian Asem Likin; Pemanca Daerah Tebedu Kane@Ken Manong dan Pengerusi Gereja St Paul Kampung Tema Saan Andrew Asan Santing antara yang turut hadir.