Kejayaan surau Darul Ehsan dirai penuh kesyukuran

DARO: Kejayaan surau Darul Ehsan diraikan dalam suasana penuh kesyukuran oleh penduduk Kampung Badong, malam tadi.

Lebih 80 penduduk hadir pada majlis yang diserikan dengan bacaan doa kesyukuran oleh Ustaz Mohd Hatamizi Mohd Zaini itu.

Majlis bertambah seri dengan kehadiran ADUN N.43 Daro, Safiee Ahmad dan Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi.

Pada majlis yang sama, Safiee turut menghulurkan sumbangan RM2,000 bagi membantu jawatankuasa pengurusan surau berkenaan melaksanakan aktiviti selain RM3,000 kepada komuniti nelayan Kampung Badong.

Pengerusi Surau, Abang Shamsure Abang Wahab berkata, majlis penuh makna itu bertujuan mensyukuri kejayaan mereka merangkul anugerah sempena sambutan Maal Hijrah 1441H peringkat negeri Sarawak baru- baru ini.

Safiee, Ahmad Johnie dan penduduk kampung menunjukkan sijil anugerah Pengurusan dan Pentadbiran Surau Terbaik Surau Darul Ehsan Kampung Badong.

“Ia juga satu penghargaan kami kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung di atas jasa khidmat bakti yang dicurahkan kepada surau Kampung Badong,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.

Menurut Shamsure Darul Ihsan menjadi surau pertama di bahagian Mukah menerima anugerah Pengurusan dan Pentadbiran Surau Terbaik.

Pencapaian itu katanya, merupakan pengiktirafan dan kejayaan terbesar kepada seluruh ahli jawatankuasa surau berkenaan.

“Surau Darul Ihsan yang dibina tahun 2000 mampu menampung 100 jemaah. Sudah pasti, pencapaian ini menjadi detik bersejarah bagi Kampung Badong khususnya dan daerah Daro amnya,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, jawatankuasa sering bertukar pandangan dan berbincang mengenai urus tadbir surau manakala pejabat Agama Islam Daerah Daro pula bertindak sebagai badan perujuk urus tadbir surau.

Malah katanya, kerjasama agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memudahkan mereka untuk melaksanakan pelbagai aktiviti.

Melalui permuafakatan itu ujarnya, jawatankuasa mampu memperkasakan peranan dan mengimarahkan surau dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat termasuk turun padang mendekati masyarakat.

“Selain menyemarakkan program Peduli Ummah Kami Prihatin membantu asnaf, kami juga tidak melupai golongan muda melalui penganjuran pelbagai aktiviti yang bersesuaian dengan kehendak mereka.

“Malah segala perbelanjaan dicatat dalam buku rekod perbelanjaan harian, termasuk resit dan bil diletakkan dalam fail khas bagi memudahkan pengurusan selain sasaran semakan audit dalaman dan pengesahan perbelanjaan kewangan dalam tempoh tiga hingga enam bulan sekali. Sementara wang yang tidak ada keperluan perbelanjaan pula akan disimpan ke dalam akaun surau,” katanya.

Hadir sama, Ketua Kampung Badong, Haslimi Hassan.

Shamsure menyampaikan cenderamata kepada Ahmad Johnine sambil diperhatikan Safiee (tengah).

 

Antara penduduk yang hadir memeriahkan program

Suara Sarawak