BINTULU: Kejohanan Bola Keranjang Jemputan Bintulu 2023 GPS Tanjong Batu kembali beraksi semula bermula 8 hingga 13 Januari ini selepas berehat selama dua tahun akibat pandemik Covid-19.
Berlangsung selama enam hari, kejohanan ini menerima penyertaan daripada enam pasukan terdiri daripada Bintulu Toorak, Kuching Kiing 1212, Sibu Warrior Horse, Miri Kinsar, Lutong Silver Wolves dan Malacca MBC.
Perlawanan antara pasukan Bintulu Toorak dan Lutong Silver Wolves membuka tirai kejohanan dengan setiap pemain saling mengasak kubu lawan untuk melakukan jaringan.

Dalam ucapan ringkasnya, Adun Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming berharap penganjuran kejohanan ini akan menjadi satu permulaan yang baik untuk tahun 2023.
“Kita akan terus komited dalam menggembleng usaha meningkatkan populariti sukan bola keranjang menerusi beberapa siri penganjuran kejohanan yang bukan sahaja di Bintulu, malah Sarawak dan peringkat Kebangsaan pada tahun ini,” katanya.
Beliau dalam masa yang sama menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada kesemua pasukan yang mengambil bahagian termasuk pihak penganjur kejohanan, Persatuan Bola Keranjang Bahagian Bintulu.

“Saya gembira melihat kejohanan ini meningkatkan momentum dan mendapat respon positif berdasarkan jumlah penyertaan yang diterima dan berharap kesemua pemain dapat mempamerkan mutu dan standard permainan yang tinggi kepada peminat sukan bola keranjang tempatan.
“Justeru, saya berharap peminat sukan juga akan memanfaatkan sebaik mungkin gelanggang bola keranjang sedia ada yang sudah dinaik taraf menerusi projek Program Transformasi Luar Bandar(RTP) DUN Tanjong Batu, baru- baru ini,” jelasnya.