
KUCHING: Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru 2022 yang akan berlangsung di Sabah pada 12 hingga 18 Februari ini merupakan ujian awal buat pemain Sarawak United FC (SU FC).
Ia menghimpunkan tiga pasukan serumpun (Liga Super 2022) seperti Kedah FC, SU FC dan Sabah FA selaku tuan rumah selain wakil tunggal dari Liga Premier 2022 iaitu Kelantan FC.
Penolong Pengurus, Abang Fomay Abang Sa’adeli menegaskan, penampilan pemain SU FC pada kejohanan ini dilihat sebagai landasan terbaik untuk menilai kemampuan para pemain.

“SU FC adalah pendatang baharu dalam kancah Liga Super 2022 dan penampilan mereka amat tepat sekali kerana selepas ini tiga pasukan ini (SU FC, Sabah FA & Kedah FC) akan berentap dalam saingan sebenar,” ujar Abang Fomay kepada Arena Suara Sarawak.
Dalam pada itu, Abang Fomay akui setiap perlawanan yang bakal dilalui pemainnya di Sabah nanti penting untuk pengendali SU FC (E.Elavarasan) mengenal pasti barisan kesebelasan utama.
“Kita berharap semua pemain dapat mempamerkan aksi terbaik mereka apabila diturunkan pada setiap perlawanan kelak,” tambah Abang Fomay lagi.
SU FC akan menentang Kedah FA (12 Februari), menentang Sabah FC (15 Februari) dan disusuli aksi terakhir menentang Kelantan FC (18 Februari).