KUCHING: Kejohanan Tenpin Boling Terbuka Antarabangsa Sarawak 2026 terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pentas sukan bertaraf antarabangsa apabila menghimpunkan seramai 663 penyertaan, termasuk peserta dari tujuh negara dan wilayah luar Malaysia.
Timbalan Premier, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, penganjuran edisi kelapan kejohanan itu membuktikan komitmen berterusan dalam membangunkan sukan boling serta memperkenalkan Sarawak di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, kejohanan berkenaan mendapat pengiktirafan dan piawaian antarabangsa selepas menerima kelulusan Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF), Persekutuan Boling Asia (ABF) dan Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC).
“Ini memberikan kejohanan berkenaan pengiktirafan serta standard yang diharapkan daripada sebuah acara sukan antarabangsa,” katanya pada Majlis Penutupan Kejohanan Tenpin Boling Terbuka Antarabangsa Sarawak 2026, di sini, hari ini.
Tambahnya, kejohanan yang disertai peserta dari Singapura, Thailand, Hong Kong, India, Taiwan, Vietnam dan Brunei Darussalam, selain wakil Malaysia membuktikan sukan mampu menyatukan masyarakat merentasi sempadan menerusi minat serta semangat persaingan yang sama.
Selain itu, beliau mengalu-alukan para peserta untuk kembali ke Sarawak pada tahun hadapan bagi menyertai Sukan Asia Tenggara (SEA) 2027.
Beliau berkata, kejohanan antarabangsa seperti itu bukan sahaja memperkukuh hubungan dalam bidang sukan, malah membuka ruang kepada peserta luar Sarawak untuk mengenali keramahan masyarakat tempatan.
“Dalam sukan, semua orang ialah pemenang. Sukan sentiasa memberi peluang untuk kita kembali dan mencuba lagi pada tahun hadapan,” tambahnya.




