Kekal GPS untuk mempercepatkan pembangunan

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) harus kembali mentadbir negeri ini agar pembangunan dapat dipercepatkan, kata Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Jemut Masing.

Beliau berkata, kestabilan politik di negeri ini harus dikekalkan dalam memastikan sosial dan ekonomi Sarawak dalam keadaan yang baik.

“22 bulan pentadbiran Kerajaan PH seharusnya menjadi pengajaran kepada seluruh rakyat Malaysia. Jangan ubah sekadar mahu ubah,” kata Masing dalam mesej tahun baharu hari ini.

Katanya, pandemik Covid-19 telah mengubah segalanya, negara terkuat di dunia juga tunduk kepada pandemik tersebut mengakibatkan ekonomi dan kehidupan mereka terjejas.

Tambah Masing, Malaysia mahupun Sarawak tidak terkecuali dari Covid-19 yang memberi kesan yang memudaratkan.

“Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah melakukan yang terbaik untuk memastikan rakyat Sarawak tidak terkesan dari segi sosial dan ekonomi oleh Covid-19,” ujarnya.

Beliau berkata, tahun 2021 adalah tahun norma baharu kerana kita tidak lagi dapat menjalani kehidupan seperti dahulu.

“Keperluan manusia untuk merapatkan hubungan sosial antara satu sama lain dihadkan. Keperluan manusia untuk terus berhubungan antara satu sama lain tidak dapat dilakukan.

“Naluri sosial untuk berkumpul dalam jumlah yang ramai dilarang. Kehidupan manusia yang kita telah ketahui selama berabad-abad telah berubah secara drastik,” jelasnya.

Masing mengakhiri mesej tahun barunya dengan mengucapkan selamat tahun baru 2021 kepada seluruh rakyat Sarawak dan sentiasa diberkati Tuhan.