Kekal status zon hijau tanggungjawab seluruh warga Sarikei – Huang

SARIKEI: Pengistiharan Sarikei sebagai zon hijau baru Covid-19 di Sarawak, membuktikan kepatuhan penduduk daerah ini terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

ADUN N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, perkembangan terkini itu adalah sesuatu yang mengembirakan seluruh warga Sarikei.

Bagaimanapun katanya, setiap individu tidak harus leka sebaliknya patuh pada setiap arahan pihak berwajib demi keselamatan diri mereka.

“Sudah menjadi tanggungjawab setiap warga Sarikei untuk memastikan daerah ini kekal sebagai zon hijau.

“Sehubungan itu, saya menggesa penduduk Sarikei agar terus patuh dan jangan ingkar arahan PKP,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Beliau berkata, setakat ini, penduduk memberikan kerjasama baik sepanjang perintah itu dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.

Malah katanya, sebahagian penduduk akur dengan arahan duduk diam di rumah selain mematuhi garisan panduan yang ditetapkan ketika membeli belah mahupun berurusan di bank.

“Kita bersyukur Sarikei sudah dikategorikan sebagai zon hijau. Semoga keadaan ini kekal sampai bila-bila.

“Sehubungan itu, saya berharap senario yang baik ini dikekalkan. Apa yang penting kita harus bersama-sama kerajaan membendung wabak ini,” katanya.

Pada masa yang sama, Huang mewakili penduduk Repok merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang menghulurkan sumbangan Sarawakku Sayang untuk meringankan beban rakyat sepanjang PKP.

“Sumbangan makanan dan wang tunai itu amat besar maknanya kepada rakyat khususnya mereka yang berpendapatan rendah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa kepada seluruh masyarakat Islam di kawasannya.

“Saya berharap rakyat terus mengekalkan suasana positif dalam memastikan keharmonian Sarikei terus terpelihara,” tambahnya.