BAU: Persembahan paluan gong dan tarian tradisional kaum Bidayuh semasa Pesta Tasik Biru 2022 menjadi titik pemulaan dalam mengekalkan adat dan warisan Bidayuh.
Di samping itu, adat dan warisan berkenaan dapat dikembangkan dan diperkenalkan kepada masyarakat lain.
Pegawai Kebudayaan Persatuan Dayak Bidayuh Kebangsaan (DBNA) Atok Derup berkata, lima kumpulan kebudayaan membuat persembahan kebudayaan yang berbeza mengikut subetnik mereka.
Katanya, walaupun persembahan kumpulan kebudayaan yang terlibat agak serupa antara satu sama lain, namun rentak dan paluan gong yang dimainkan berbeza.
“Kumpulan dari Kampung Opar mempunyai tiga versi persembahan.
“Begitu juga persembahan masyarakat Kampung Gumbang yang biasanya dipersembahkan semasa Pesta Nyebang yang diadakan di Baruk Kampung Gumbang. “Kita bawakan persembahan ini Pesta Tasik Biru untuk dipertontonkan kepada pengunjung,” katanya ketika ditemui di Pentas Utama Tasik Biru, di sini baru-baru ini.
Majlis dirasmikan Adun Opar Billy Sujang sementara kumpulan persembahan terdiri daripada Tanju Budaya Singai, kumpulan kebudayaan Kampung Merembeh, Kampung Stass, Kampung Opar dan Kampung Gumbang.
Atok yang juga ahli jawatankuasa pengelola turut menjelaskan, tiga alat muzik utama yang dimainkan semasa persembahan merangkumi sebang, seletang dan gong adalah instrumen penting dalam sesuatu sambutan.
Menurutnya, tiga alat muzik tersebut harus dimainkan secara beriringan agar alunan paluan itu lengkap.
“Seletang adalah alat yang pertama dimainkan, seterusnya diiringi gong dan sebang.
“Ia mesti beriringan dan tidak boleh putus supaya rentaknya lengkap.
Tanpa tiga kompenen ini, paluan gong tidak lengkap.
Kita harus mainkan semua alat tradisional ini,” ujarnya.
Beliau dalam pada itu berharap penganjuran persembahan itu dapat diadakan khas paluan gong dan tarian untuk dipertontonkan kepada masyarakat Bau.
Sementara itu, Presiden DBNA Datuk Ik Pahon Joyik berkata, DBNA amat menggalakkan penganjuran acara seperti ini sebagai usaha mengekalkan khazanah budaya Bidayuh terutamanya dari segi pakaian dan tarian tradisional serta paluan gong.
Katanya, aktiviti tersebut menyuntik semangat golongan muda untuk menggayakan pakaian tradisional Bidayuh serta memperingati adat tradisi kaum tersebut.
Berhubung penganjuran yang melibatkan semua etnik
Bidayuh, beliau berkata, ia boleh dianjurkan secara besar-besaran melibatkan Daerah Lundu, Bau, Padawan dan Serian.
“Kita nampak ada sambutan dan golongan muda khasnya berminat dan berjinak-jinak dengan khazanah budaya, kita boleh anjurkan.
“Mungkin forum yang sesuai adalah semasa kita anjurkan pada Pesta Birumoh seperti yang kita buat.
Tahun terakhir adalah tahun 2017, kita adakan di Serian. “Mungkin kita boleh anjurkan pada tahun hadapan jika semua pemimpin Bidayuh bersetuju,” katanya.