Kekalkan kawasan bebas jangkitan

KABONG: Penduduk yang tinggal di zon berisiko rendah terkena jangkitan Covid-19 tidak seharusnya leka dan berasa selesa.

Sebaliknya, semua pihak disaran mengutamakan pematuhan SOP agar Daerah Kabong khususnya dapat dikekalkan sebagai kawasan hijau serta bebas jangkitan, demikian tegas Adun Kabong Mohd Chee Kadir.

Menurutnya, gelombang ketiga Covid-19 di seluruh negara kini lebih membimbangkan. “Justeru tidak kira di mana kita berada, amalan norma kehidupan baharu harus diutamakan dan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan dari semasa ke semasa.

“Jika kita mampu akur, InsyaAllah kita mampu memutuskan rantaian jangkitan dan akan bebas. “Tanggungjawab kita bersama adalah untuk memastikan Daerah Kabong kekal sebagai kawasan hijau,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Sepakat@Komuniti (Pembudayaan Norma Baharu: Putuskan Rantaian Covid-19) anjuran Jabatan Penerangan di rumah panjang Kuchun Koti dekat Sungai Jabey, pada Ahad.

Chee turut menghargai peranan yang dimainkan oleh semua pihak selama ini dalam memerangi Covid-19. Katanya, Kerajaan GPS menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) yang dipengerusikan oleh Datuk Amar Douglas Uggah Embas cukup komited dalam mengawal penularan wabak tersebut.

Beliau pada majlis yang sama meluluskan peruntukan MRP RM16,000 bagi menambah baik sistem perparitan di rumah panjang Kuchun Koti selain menyerahkan kit Covid-19 kepada beberapa ketua kaum.

Turut hadir Pegawai Penerangan Daerah Saratok Florence Sebastian Unting dan Inspektor Ketenteraman Awam IPD Saratok Mohd Musa Ali.

Suara Sarawak