ARTIKEL

Karim ketika ditemui pemberita

Kekalkan parti kuat, bertanding di sesebuah kawasan – Abdul Karim

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Parti yang kuat di sesebuah kawasan pilihan raya perlu dikekalkan dan tidak ada keperluan membuka peluang kepada calon lain, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurutnya, tidak dinafikan kerusi DUN atau Parlimen tidak dimiliki oleh wakil rakyat yang khusus dan sesiapa sahaja layak bertanding di kawasan pilihan raya kerana ia terbuka kepada semua.

Malah tambahnya, kerajaan di seluruh dunia pun tidak ada yang mengaku kerusi pilihan raya itu milik individu yang khusus.

“Tidak ada yang ditetapkan untuk memiliki kerusi pilihan raya tertentu. Tetapi, jika kita lihat parti komponen GPS itu sudah kuat di satu-satu kawasan, kenapa mahu dibuka lagi dalam kalangan kita (GPS)?

“Itu (kerusi tradisional) penting kerana jika ia dibuka, kemungkinan besar kita tidak dapat mengawal keadaan di mana parti-parti luar yang besar juga boleh bertanding. Sedangkan pada masa ini, kita dapat kawal dan putuskan siapa yang patut bertanding,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Tiong King Sing berhubung kerusi tradisional ADUN dan Parlimen, di Bangunan Baitulmakmur II, hari ini.

Malah katanya, parti juga memberi sokongan penuh kepada calon yang bertanding sambil meluahkan rasa terkilan dan khuatir setelah mendengar kenyataan daripada Tiong.

Abdul Karim berkata, kerusi tradisional ini menunjukkan calon yang dipertandingkan sememangnya kuat di kawasan masing-masing.

“Melalui langkah ini juga, kita dapat lihat ia membawa kepada kesan yang baik termasuk dari aspek kestabilan sehingga mendorong kepada anjakan ekonomi, pentadbiran, pengurusan kewangan dan lain-lain yang turut menjadi teratur.

“Kita dapat menguruskan negeri kita dengan baik, jadi kenapa mahu mengganggu kestabilan ini? Kalau ada keseimbangan, sistem yang baik dan teratur, kita biarkan sahaja kerana ia memberi manfaat kepada kita.

“Sudah tentu jika ada calon yang berkali-kali kalah bertanding di sesebuah kawasan, kita pertikaikan. Sekiranya berlaku seperti itu, baru kita beri ruang kepada calon lain untuk masuk bagi memenangkan kerusi berkenaan,” jelasnya.

Tetapi katanya, beliau bersyukur kerana GPS mempunyai pencapaian yang baik dengan memiliki 79 kerusi daripada 82 kerusi yang terdapat di negeri ini melibatkan kawasan Dayak, Melayu, Cina dan sebagainya.

Sehubungan itu, Abdul Karim turut mendedahkan kerusi tradisional yang sudah diamalkan sejak bertahun-tahun sebelum ini mendapat penerimaan yang baik dalam kalangan masyarakat di pelbagai kawasan.

“Rakyat juga gembira terhadap wakil rakyat yang memimpin kawasan masing-masing, maka baik agar ia dikekalkan,” katanya ringkas.

Dalam pada itu, Abdul Karim turut menegaskan sekiranya benar Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) itu hendak memperjuangkan dengan cara tersebut, beliau perlu dibawa ke Majlis Tertinggi GPS supaya tidak menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangn komponen parti yang lain.

“Beliau (Tiong) perlu ingat, jika benar mahu bertanding secara terbuka sehingga menceroboh kawasan parti komponen lain dalam GPS, kawasan beliau juga terbuka untuk ditandingi.

“Kalau nak dibuka (bertanding), bersiap sedia sekiranya dapat atau tidak mempertahankan kawasan sendiri. Parti tersebut juga mungkin terus habis jika tidak berhati-hati.

“Jadi pada masa ini, kita bekerjasama dengan baik dan pastikan sama-sama menang di tempat masing-masing,” tegasnya.

Baru-baru ini, Tiong memberitahu bahawa tiada lagi istilah kerusi tradisi dalam politik era moden dan rakyat yang seharusnya menentukan kerusi dan calon yang akan bertanding mewakili kawasan DUN masing-masing.

BERITA LAIN

Perdana Menteri China akan lawat Malaysia

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri China Li Qiang akan mengadakan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia dari Selasa hingga 20 Jun. Ini merupakan lawatan pertamanya ke

BERITA TERBARU

Perdana Menteri China akan lawat Malaysia

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri China Li Qiang akan mengadakan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia dari Selasa hingga 20 Jun. Ini merupakan lawatan pertamanya ke