Kekalkan Sarawak bertuah

KUCHING: Sikap keterbukaan rakyat Sarawak merupakan kata kunci kemajuan hidup dan keharmonian rakyat pebagai kaum negeri ini.

Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud berkata, rakyat di negeri ini sangat bertuah kerana mempunyai penerimaan dan keterbukaan minda sesama sendiri biarpun berlainan kaum.

“Sarawak unik kerana tidak mempunyai kumpulan etknik majoriti dan semua etnik mengamalkan sikap persahabatan dan perpaduan antara satu sama lain,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Sarawak’s Pride Project Maze bertempat di Tebingan Kuching, semalam.

Tambahnya, 100 tahun lalu Sarawak mempunyai permusuhan antara sesetengah kaum namun ketegangan itu telah tiada sehingga hari ini mampu duduk bersama walau berlainan agama.

Taib beranggapan Sarawak juga unik kerana rakyatnya menerima kehadiran, tradisi dan kepercayaan masing-masing.

“Kita mempunyai hubungan istimewa telah berkembang sejak bertahun-tahun lalu kerana sikap keterbukaan yang diamalkan di sini.

“Kita menyambut perbezaan baik dan mengamalkan sikap kebersamaan kuat dalam kalngan masyarakat,” jelasnya.

Beliau juga menyatakan, Sarawak selalu dikenali sebagai model perpaduan dan keharmonian sosial dan diketengahkan dalam projek Sarawak Pride.

“Sarawak berada dalam keadaan baik walaupun pada awalnya kita ada kebimbangan kerana jurang antara kawasan bandar dengan luar bandar.

“Inilah cerita kejayaan dan kegembiraan untuk kita melihat rakyat di negeri ini saling menghormati antara satu sama lain dengan baik,” katanya.

Beliau juga berharap supaya rakyat Sarawak sentiasa ingat dengan hubungan kuat dan istimewa yang ada pada hari ini.

“Kita mengambil langkah untuk memupuk semangat muhibah, keharmonian sosial kerana ia adalah asas dibina untuk Sarawak,” ujarnya.

Beliau memerhatikan bahawa terdapat suara ekstremisme dilemparkan ke negeri ini, tetapi ia masih kecil dan berjaya diatasi.

“Cara terbaik ialah bergerak ke hadapan untuk terus bekerjasama dalam hubungan kuat antara masyarakat di sini,” tegas Taib.

Beliau turut menyempurnakan simbolik perasmian dan mengadakan lawatan ke tapak pameran cerita pendek, di Tebingan Kuching semalam.