Kekayaan negara perlu diagih dengan adil, saksama untuk Sarawak dan Sabah

KUCHING: Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad memberi komitmen untuk memastikan kekayaan negara diagihkan dengan adil dan saksama sesama rakyat, bukan sahaja di Semenanjung Malaysia tetapi juga Sabah dan Sarawak.

Sehubungan itu, beliau berkata kabinetnya telah memperkenalkan Wawasan Kemakmuran Bersama yang menunjukkan keutamaan kerajaan persekutuan kepada mengukuhkan dan mengembangkan lagi ekonomi negara bagi memastikan kesejahteraan rakyat.

“Kita mahu Kemakmuran Bersama ini disalurkan kepada semua rakyat termasuk meningkatkan kuasa beli mereka serta menghapuskan jurang pendapatan dan kekayaan antara kaum.

“Apabila ini dapat dilakukan, kerajaan boleh memastikan kekayaan negara diagihkan dengan adil dan saksama sesama rakyat, dan ini sekali gus mewujudkan keharmonian dan kestabilan di kalangan mereka,” katanya berucap pada sambutan Hari Malaysia 2019 Peringkat Kebangsaan di Stadium Perpaduan, Petra Jaya dekat sini semalam.

Mahathir menambah kerajaan melihat penglibatan semua kaum dalam pelbagai sektor ekonomi secara adil dan saksama amat penting untuk mewujudkan kemakmuran bersama yakni dalam semangat Malaysia Baharu.

“Justeru itu, kerajaan amat berharap agar semua negeri di Semenanjung Tanah Melayu serta Sabah dan Sarawak dapat membantu menjayakan usaha ini,” katanya.