BINTULU: Isu kekurangan diesel yang sering berlaku di sini kembali menimbulkan keresahan penduduk, menyebabkan mereka beratur panjang di stesen minyak untuk mendapatkan bekalan bahan api berkenaan.
Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing berkata, kekurangan diesel di Bintulu bukanlah perkara baru dan sering kali berlaku.
“Justeru tindakan segera perlu diambil untuk menangani situasi ini sebelum lebih banyak sektor terjejas terutamanya industri pengangkutan,” katanya dalam satu kenyataan di laman rasmi Facebooknya, malam tadi.
Beliau juga menyelar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) Bintulu kerana kecuaian dalam mengatasi masalah bekalan minyak ini yang turut merunsingkan para pemilik kenderaan dan perniagaan yang terjejas.
“Pihak berkuasa diminta bertindak cekap untuk menyelesaikan masalah ini agar industri penting ini tidak terjejas lebih lanjut.

“Penduduk Bintulu berharap agar pejabat KPDNHEP lebih peka terhadap isu ini dan tidak menutup mata terhadap kesulitan yang dialami penduduk tempatan,” tambahnya.
Beliau mendedahkan walaupun kekurangan bahan api ini tidak kerap berlaku di bahagian lain, situasi ini semakin meruncing di Bintulu disebabkan oleh faktor manusia.
Namun katanya, pihak berkuasa KPDNHEP nampaknya tidak memberi perhatian serius untuk mengatasi isu ini yang membabitkan kemudahan asas penduduk dan industri.
“Ini menimbulkan persoalan – apakah pejabat KPDNHEP di Bintulu benar-benar menjalankan tugas mereka dengan cekap?
“Kehilangan bekalan diesel bukan sahaja memberi impak kepada pengguna, tetapi juga kepada ekonomi tempatan.
“Pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap unsur-unsur yang terlibat dalam krisis bekalan ini dan menjalankan siasatan menyeluruh bagi menjamin bekalan yang stabil dan mencukupi,” katanya lagi.