Trending

Kekurangan fizikal bukan penghalang

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

KOTA SAMARAHAN: Kelainan fizikal disebabkan mengalami kemalangan sembilan tahun lepas tidak mematahkan semangat Mohd Adhwa, 23, untuk menamatkan pengajiannya dalam bidang perakaunan.

Siswazah dalam jurusan Diploma Perakaunan terbabit merupakan antara 1,151 siswazah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak Kampus Samarahan yang diraikan dalam Istiadat Konvokesyen kali ke-96.

Berkongsi kisahnya, Adhwa berkata, sebelum ini beliau seperti insan lain namun segalanya berubah setelah mengalami kemalangan pada 2014.

“Saya telah dilanggar dari belakang semasa melintas jalan raya. Kesannya agak teruk lebih-lebih lagi di bahagian kepala,” katanya.

Adhwa tidak menafikan beliau menghadapi beberapa cabaran sepanjang belajar dengan keadaan fizikal serba kekurangan.

“Saya ini golongan berkeperluan khas dan berbeza dengan mereka yang normal.

Sememangnya saya agak susah untuk menyesuaikan diri.

Mereka agak kekok untuk berkomunikasi dengan saya,” jelasnya.

Anak kedua daripada lima beradik itu masih meneruskan pengajiannya dalam Sarjana Muda Kewangan yang berbaki tiga semester.

“Saya berasakan bidang perakaunan agak luas, melibatkan cukai, audit, dan sebagainya.

“Jadi, saya mahu kecilkan skop bidang yang telah saya pelajari sebelum ini dan fokuskan dengan bidang kewangan sahaja.

Lagi pula, saya gemar bab pengiraan sebegini,” katanya.

Selain itu, dedahnya, banyak persoalan yang bermain di mindanya sebelum memulakan pengajian diploma.

“Pada dasarnya, saya mahu mengambil diploma dalam jurusan bangunan.

Tetapi, disebabkan faktor ketidakupayaan, maka Penasihat Akademik saya memberi sedikit tip dan nasihat untuk menukar bidang.

“Begitu juga dengan ibu bapa yang banyak membantu.

Akhirnya, saya bersetuju untuk mengambil jurusan perakaunan ini,” jelasnya.

Beliau turut berkongsi motivasi yang dipegangnya semasa menghadapi segala cabaran.

“Kita perlu cuba dan terus mencuba walaupun berasakan tidak dapat atau tidak mampu kerana kita tidak akan pernah tahu tahap kemampuan sendiri selagi belum mencuba.

Terokailah apa-apa bidang yang kita minat,” katanya.

Tambahnya, jika penat, akan berehat dan tidak memaksa diri kerana ia akan menyebabkan badan semakin penat.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru