Kekurangan guru

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

BERITA yang menyatakan bahawa Sarawak kekurangan sekitar 3,000 guru tentu agak mengejutkan bagi mereka di luar bidang pendidikan.

Isu sekolah — baik rendah mahupun menengah — berdepan dengan masalah kekurangan guru bukanlah baharu.

Sejak berdekad-dekad, masalah ini bagai tidak berjaya ditangani dengan berkesan.

Apakah puncanya?

Adakah perancangan yang lemah?

Adakah kita gagal menjangka jumlah sebenar guru yang perlu dilatih setiap tahun?

Saya bagai tidak percaya bahawa kita masih lagi bergelut dengan masalah ini menyedari bahawa begitu banyak institusi dan universiti yang menawarkan kursus perguruan.

Lagipun, masalah ini ialah masalah yang sudah lama wujud.

Masalah mungkin timbul apabila ramai guru yang mengambil keputusan bersara awal.

Difahamkan sekitar 10,000 guru yang bersara awal, hampir sama banyak dengan jumlah guru yang bersara wajib.

Maksudnya, sekitar 20,000 guru yang bersara setiap tahun.

Ini satu angka yang cukup besar.

Mereka bersara awal kerana tidak tertanggung lagi dengan beban kerja di sekolah.

Untuk melatih seorang guru pula memerlukan masa sekurang-kurangnya tiga atau empat tahun.

Sekolah kita juga mempunyai terlalu banyak mata pelajaran sehingga guru sedia ada tidak cukup untuk meliputi semua mata pelajaran.

Sebahagian guru juga diserap menjadi pentadbir dan pegawai pendidikan di peringkat daerah, jabatan atau kementerian.

Tidakkah pihak kementerian dapat mengambil kira semua faktor ini dalam perancangan mereka?

Malaysia mempunyai sekitar 430,000 guru untuk mendidik hampir lima juta murid.

Jumlah murid tentu bertambah setiap tahun, dan sejajar dengan pertambahan itu, jumlah guru yang diperlukan tentu turut bertambah.

Nisbah guru berbanding murid di negara ini sebenarnya tidaklah mengecewakan berbanding negaranegara lain.

Menurut pakar, nisbah di Malaysia ialah seorang guru untuk 12 murid berbanding Australia dan United Kingdom 1:18, Singapura 1:14, dan Amerika Syarikat 1:21.

Persoalannya, mengapakah kita masih berdepan masalah kekurangan guru?

Malah difahamkan ada sekolah yang belum ada pengetua.

Bagaimanakah kita boleh membiarkan perkara ini berlaku sedangkan pengetua atau guru besar amat penting bagi sekolah.

Sekolah yang tanpa peneraju bagai kapal tanpa nakhoda.

Justeru, isu berkaitan kekurangan guru dan ketiadaan pengetua perlu diberi perhatian yang serius.

Maksudnya, Kementerian Pendidikan Malaysia perlu memperlihatkan komitmen yang jitu untuk menanganinya.

Jika masalah guru berterusan dan gagal diselesaikan dengan berkesan, pasti yang menerima padah ialah murid.

Bukan tidak pernah kita mendengar sebelum ini, ada sekolah yang tiada guru sesuatu mata pelajaran untuk berbulan-bulan.

Kini pun negara kekurangan guru bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Islam serta Reka Bentuk dan Teknologi.

Keadaan ini tentu tidak adil untuk murid dan ibu bapa. Ibu bapa mengharapkan anak-anak mereka mendapat pendidikan yang terbaik dan berkualiti tinggi daripada guru dan sekolah.

Impian ini hanya dapat dicapai jika kita mempunyai guru yang pakar.

Guru yang terlatih dalam sesuatu mata pelajaran ditugaskan untuk mengajar murid dalam bidang berkenaan.

Dan bukannya diserahkan kepada mana-mana guru.

Namun, langkah demikian bukannya asing atau luar biasa.

Dalam keadaan demikian, bagaimanakah guru dapat mengajar dengan baik dan berkesan?

Murid menerima padah apabila diajar oleh guru yang bukan pakar.

Berdasarkan pengalaman sebagai guru dan pengetua, masalah yang timbul ialah, pihak berkuasa menghantar guru bukan pengkhususan sesuatu bidang untuk mengajar di sekolah terbabit kerana tiada pilihan.

Pakar bermaksud mempunyai pengetahuan yang mendalam dan meluas dalam subjek yang diajar, mahir dalam teknik pengajaranpembelajaran, termasuk teknik menyoal, menilai, menyediakan suasana pembelajaran yang sesuai, memberi motivasi kepada murid dan sebagainya.

Untuk menjadi pakar, seseorang guru bukan sahaja perlu dilatih dalam bidang berkenaan.

Guru berkenaan juga perlu meraih pengalaman melalui pelbagai latihan dalam perkhidmatan dan sebagainya.

Guru itu sendiri perlu sentiasa komited dan bersikap profesioanl dengan berazam untuk sentiasa meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan kepakaran.

Dia perlu imaginatif dan kreatif, selain memiliki inisiatif.

Percayalah, untuk beberapa tahun awal, guru itu melalui proses mencuba.

Pengalamannya akan semakin mantap selepas tiga atau lima tahun.

Sekolah tiada pilihan apabila mengambil tindakan menugaskan guru bukan terlatih dalam sesuatu mata pelajaran untuk mengajar mata pelajaran itu.

Tiada akar rotan pun berguna. Lebih baik ada guru mengajar daripada tiada guru yang masuk ke kelas atau masuk ke kelas hanya untuk menjaga disiplin murid supaya murid tidak bising dan sebagainya.

Ini tentu sesuatu yang malang.

Saya percaya, Kementerian Pendidikan Malaysia sedar akan kesan dan implikasinya.

Sampai bilakah pihak kementerian menyatakan bahawa masalah kekurangan guru tidak akan dapat diselesaikan dalam masa yang singkat?

Sampai bilakah kita berdepan masalah kekurangan guru, termasuk guru pakar?

Langkah drastik dan lebih terancang perlu diambil untuk melatih lebih ramai guru.

Institut pendidikan guru dan universiti yang menawarkan kursus pendidikan perlu meningkatkan pengambilan pelajar, terutama dalam bidang tertentu.

Sebarang kekosongan jawatan guru perlu diisi, termasuk dengan melantik guru sementara atau guru yang sudah bersara tetapi masih berminat untuk mengajar, menjalankan tugas berkenaan.

Dalam konteks Sarawak, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek perlu bersedia untuk lebih kerap turun padang supaya lebih memahami masalah di negeri ini, termasuk sekolah dan asrama daif dan kekurangan guru.

Beliau hendaklah bersedia untuk berbincang dengan pihak Kerajaan Sarawak dan menterinya bagi menangani isu terbabit.

Kita memerlukan jumlah guru yang mencukupi dan terlatih khusus dalam mata pelajaran yang diajar sebagai satu daripada langkah untuk melahirkan pendidikan dan murid yang berkualiti.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berkaitan

Dunia kaki buku

ADA banyak sebab pentaasub dan penggila buku membeli buku. Seorang

Buruh paksa moden

SEKALI-SEKALA media melaporkan pekerja asing, termasuk pembantu rumah di negara

Neraka di bumi

PERTUBUHAN Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang memetik pihak berkuasa Palestin pada

Lain-lain

Dunia kaki buku

ADA banyak sebab pentaasub dan penggila buku membeli buku. Seorang