
KUCHING: Kelab Paintball Kidurong (KPK) berjaya meraih pingat emas selepas menumpaskan sembilan pasukan lain yang berentap dalam aksi Kejohanan Mini Sukan Paintball 2022 yang berlangsung di Kelab Paintball Mambong, Siburan.
Seramai 80 orang peserta dari seluruh Sarawak telah menyertai kejohanan tersebut dan menyaksikan empat pasukan dari Bahagian Bintulu berjaya mendominasi kedudukan empat teratas.
Pengurus Pasukan KPK Johnson Lee berkata, pertandingan yang disertai itu hanya sebagai sesi pemanas badan kepada pemain sebelum menyertai pertandingan di Kota Kinabalu, Sabah pada Mac depan.
“Pemain-pemain kita berada di seluruh Sarawak dan hanya berpeluang bermain bersama sebagai satu pasukan sekiranya ada pertandingan diadakan.
“Malahan, ini merupakan kali pertama pasukan bermain bersama selepas dua tahun menyepi kerana penularan wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Antara pasukan yang turut berentap dalam kejohanan terbabit ialah KPK, Joros, Bad Company, Guiness Hunters, Annex, Xbox, Nsix, Saberkas, KPS dan BLA.
