ARTIKEL

Kelab SPADE pupuk bakat keusahawanan pelajar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

DALAM dunia akademik yang terus berkembang, Kelab Spade di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) muncul sebagai kuasa kekuatan yang menggabungkan ekonomi dan keusahawanan.

Meskipun ekonomi dan perniagaan mungkin nampak sebagai domain yang berbeza, namun Kelab Spade membuktikan bahawa pertemuan kedua-duanya mampu mencipta kedinamikan unik dan memberikan impak positif kepada ekonomi kampus.

Kelab Spade mula ditubuhkan pada 1 Mei 2017 dengan memiliki kekuatan ahli seramai 16 orang dan Pensyarah Kanan Pusat Pembangunan Keusahawanan, Dr Norazirah Ayob merupakan pengasasnya.

Beliau mendapat idea untuk menubuhkan Kelab Spade supaya membuka peluang kepada pelajar Fakulti Ekonomi dan Perniagaan (FEB) untuk mengasah bakat dalam bidang ekonomi, selain mempelajari kemahiran dalam bidang perniagaan.

“Kelab Spade ialah kelab di bawah FEB yang menjelma sebagai suatu fenomena yang menggabungkan kreativiti dan kecerdasan strategik ekonomi.

“Berbeza dengan pandangan konvensional bahawa kelab di bidang ekonomi yang terfokus pada analisis data dan kebijaksanaan perniagaan, Kelab Spade menonjol sebagai pusat kegiatan yang merangkumi seni, kreativiti dan inovasi dalam konteks ekonomi.

“Kelab ini tidak hanya mengejar aspek akademik tetapi memainkan peranan dalam merangsang kreativiti dan inovasi,” kata Dr Norazirah.

Menurut beliau, kelab itu bukan sahaja menyediakan platform untuk menonjolkan bakat kemahiran komunikasi, tetapi juga peranannya dalam membina komuniti yang dinamik dan kreatif.

“Kelab ini turut menganjurkan pelbagai pengurusan acara dan ilmu keusahawanan, sekali gus mencipta gelombang positif yang membawa kegembiraan dan inspirasi kepada pelajar UNIMAS,” katanya.

Bagi sesi 2023 dan 2024, Masni Jamaluddin iaitu pelajar tahun tiga kursus Ekonomi Antarabangsa dilantik sebagai Pengerusi Kelab Spade.

Menurut Masni, berbanding fakulti lain di UNIMAS, FEB mempunyai persatuan khas yang dipanggil Persatuan Mahasiswa Fakulti Ekonomi dan Perniagaan (PERFEP) yang hanya terbuka kepada pelajar FEB.

“Di bawah persatuan ini terdapat pelbagai kelab lain dan salah satunya ialah Kelab Spade atau dikenali sebagai ‘Society of Professional Development in Economics (Spade) dan mempunyai simbol ‘Ace Spade’.

“Matlamat utama Kelab Spade untuk terus maju ke hadapan, mengasah kemahiran komunikasi dan kepimpinan untuk digunakan pada masa hadapan.

“Jadi bukan pengerusi sahaja yang perlu ada kemahiran pemimpin, tetapi rakan-rakan lain juga perlu ada kemahiran pemimpin serta berani untuk berkata benar kerana tidak semestinya orang atasan itu sentiasa betul.  

Orang bawahan juga kita perlu dengar pendapat mereka,” kata Masni.

Walaupun FEB menawarkan pelbagai kelab lain di bawah PERFEP, tetapi untuk menjadi ahli Kelab Spade perlu mempunyai kriteria yang diperlukan antaranya, pelajar tersebut ialah pelajar ekonomi tahun pertama dan mempunyai purata nilai gred kumulatif lebih dari 2.70.

“Hal ini kerana, Kelab Spade mempunyai sasaran untuk pelajar yang ingin memasuki kelab ini.

“Kelab ini turut menggabungkan anggota daripada pelbagai disiplin, mencipta satu platform unik iaitu pemikiran ekonomi bertemu dengan ekspresi perniagaan.

“Sebagai sebuah kelab antaradisiplin, Kelab Spade juga bertanggungjawab menyelidik keseragaman anggota, memberi sumbangan kepada kemajuan idea dan projek yang dijalankan oleh kelab,” tambah Masni.

Tambahan lagi, Kelab Spade kini mengeluarkan dan menjual produk kelab mereka sendiri iaitu kemeja-T Spade.

Pada mulanya, produk yang dikeluarkan terbuka kepada pelajar ekonomi tahun pertama di FEB sahaja tetapi disebabkan permintaan tinggi, Kelab Spade membuka tempahan untuk semua pelajar UNIMAS yang berminat dengan menawarkan harga serendah RM39.

Daripada hasil jualan tersebut, Kelab Spade memperoleh sebanyak 200 tempahan Kemeja-T daripada pelajar ekonomi di FEB.

Sambutan hangat itu sekali gus membuktikan bahawa Kelab Spade mampu memberikan impak positif dalam pendidikan ekonomi dan perniagaan, dengan kerjasama kelab itu mencapai sasaran dengan memperkaya pengalaman pembelajaran mahasiswa.

Kelab Spade turut membuktikan bahawa kreativiti dan ekonomi bukanlah dua konsep yang bertentangan, tetapi sebaliknya menjadi pasangan harmoni yang membawa kelebihan kepada masyarakat akademik.

Melalui projek dan kerjasama dengan fakulti, Kelab Spade turut memberi peluang pembelajaran yang tidak hanya menghasilkan akademik tetapi juga membentuk keperibadian dan kemahiran praktikal.

Kelab ini turut menjadi ruang kepada pelajar agar dapat mempraktikkan teori ekonomi mereka dengan cara kreatif dan inovatif.

Sebagai kelab yang berdaya maju, Kelab Spade terus memandang ke hadapan dengan penuh aspirasi untuk mencari inovasi dan menjalinkan kolaborasi, dengan harapan menjadi agen perubahan dalam kalangan pelajar FEB dan keseluruhan pelajar UNIMAS.

“Ia bukan sahaja menghidupkan suasana keusahawanan di dalam fakulti, tetapi juga membuka pintu kepada pandangan baharu kreativiti pelajar juga dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi.

“Kesimpulannya, perjalanan kelab ini mencerminkan kepelbagaian dan keberanian untuk mencari kesinambungan antara dua dunia yang kelihatan berbeza, namun saling memerlukan antara satu sama lain,” kata Masni.

• Artikel ini ditulis oleh pelajar daripada Program Komunikasi Strategik di Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi, UNIMAS.

LAIN-LAIN BERITA

Ekonomi Malaysia dijangka lebih baik

Prestasi ekonomi Malaysia dijangka lebih baik pada masa depan, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan dan pasaran buruh yang stabil, kata Jabatan Perangkaan (DOSM).

MPP perkenalkan inisiatif ‘Fast Lane’

KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) memperkenalkan inisiatif ‘Fast Lane’ yang bertujuan menarik lebih banyak pembangunan perindustrian dan komersial ke kawasan di bawah bidang kuasanya. Menurut

BERITA TERBARU