ARTIKEL

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn. - Foto: Alif Noni

Kelas tuisyen bagi pelajar Tingkatan Satu hingga Lima di luar bandar, rapatkan jurang dengan pendidikan di bandar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) menyediakan kelas tuisyen untuk tempoh lima tahun kepada pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima dalam usaha merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar.

Menterinya, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn, berkata ia melibatkan sebanyak sembilan sekolah di kawasan Baram untuk tempoh dari 2024 hingga 2028.

“Untuk merapatkan jurang pendidikan bandar-luar bandar, kementerian saya dengan kerjasama Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak dan Hornbill Foundation menyediakan kelas tuisyen untuk Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima.

“Inisiatif ini akan memberi manfaat besar kepada pelajar luar bandar bagi memastikan mereka mempunyai sumber dan sokongan yang diperlukan untuk cemerlang dalam akademik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Program Latihan Penggunaan Raspberry Pi Tahap D: Membudayakan Pengetahuan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam Kalangan Guru dan Pelajar di Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak di sini, hari ini.

Tambahnya, usaha merapatkan jurang pendidikan luar bandar turut diperkasakan melalui kerjasama MEITD dan Chumbaka Sdn Bhd, yang dilancarkan pada Mac lalu melibatkan 40 sekolah rendah di negeri ini.

“Program ini dibiayai oleh Yayasan Hasanah dan Kementerian Kewangan bertujuan menangani keciciran pembelajaran, terutamanya yang terkesan akibat pandemik COVID-19, melalui alat pembelajaran digital untuk Bahasa Inggeris dan Matematik.

“Ia akan membina kapasiti dalam pemulihan dengan guru Bahasa Inggeris melaksanakan intervensi keciciran pembelajaran bermula dari Mac hingga Disember tahun ini,” jelasnya.

Mengulas lanjut, ujarnya, Kerajaan Sarawak juga bakal memperkenalkan Program Pemantapan Pendidikan Sarawak (SEEP) yang bertujuan untuk meningkatkan pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini.

“Gred Purata Negeri (GPN) adalah 4.92 dan kita masih ketinggalan di belakang peringkat kebangsaan dengan nilai 4.62.

“Justeru, SEEP diperkenalkan dan rancangan jangka panjang ini untuk menjadikan keputusan SPM Sarawak setanding dengan purata kebangsaan dalam tempoh lima tahun.

“Ia melibatkan kerjasama Yayasan Sarawak dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPNS).

“Saya menyeru kepada semua pemimpin sekolah, guru, ibu bapa dan pelajar untuk komited mencapai kejayaan besar dalam peperiksaan SPM kita,” tegasnya.

Tambahnya, SEEP menyasarkan penglibatan lebih ramai pelajar Tingkatan Empat dan Lima yang bakal memenuhi permintaan pekerjaan pada masa depan, sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 Sarawak.

BERITA LAIN

PKR Kelantan wujudkan NGO Anak Muda MADANI

PASIR MAS, Kelantan: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan akan membentuk satu badan bukan kerajaan (NGO) khas yang dikenali sebagai Anak Muda MADANI bagi menyantuni golongan

BERITA TERBARU

PKR Kelantan wujudkan NGO Anak Muda MADANI

PASIR MAS, Kelantan: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan akan membentuk satu badan bukan kerajaan (NGO) khas yang dikenali sebagai Anak Muda MADANI bagi menyantuni golongan