Kelayakan Piala Dunia/Asia: De Paula, Luqman bintang baharu Harimau Malaya

PEMAIN naturalisasi baharu negara, Guilherme de Paula antara muka baharu dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya selama sembilan hari, bermula Isnin depan di Johor Bahru.

Selain pemain Perak FC itu, Luqman Hakim Shamsudin (KV Kortrijk), Ramadhan Saifullah Usman (Johor Darul Ta’zim FC), penjaga gol Rahadiazli Rahalim (Terengganu FC) juga merupakan antara muka baharu dalam senarai 28 pemain.

Bagaimanapun, dua pemain yang berkelana di luar negara, Liridon Krasniqi dan Junior Eldstal tidak dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan Tan Cheng Hoe ke kem latihan pusat skuad berkenaan.

Cheng Hoe berkata pemain naturalisasi kedua negara, Liridon yang beraksi bersama Newcastle Jets di Liga Australia (Liga-A) dan Junior yang beraksi bersama Chonburi FC di Liga 1 Thailand, tidak dipanggil kerana kesukaran tempoh kuarantin untuk masuk ke Malaysia dan kembali ke negara berkenaan.

“Lagipun saya melihat kedua-dua pemain ini sedang meningkatkan persembahan dan prestasi masing-masing bersama kelab baharu ini. Jadi saya kira lebih baik mereka menyertai latihan pada Mei nanti dengan prestasi yang lebih baik selepas mendapat aksi minit permainan di Liga Australia dan Liga Thailand,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Safawi Rasid pula tidak disenaraikan kerana mengalami kecederaan pada aksi Liga Super di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan UiTM FC, Sabtu lalu.

Kem itu adalah sebagai persiapan menjelang baki tiga perlawanan terakhir Kumpulan G bagi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan diadakan secara berpusat di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun.

Cheng Hoe juga mengekalkan seramai 17 pemain dari skuad 23 pemain ketika dua aksi terakhir kelayakan sebelum ini, iaitu bertemu Thailand dan Indonesia di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 14 dan 19 Nov 2019.

Sebanyak enam pemain, Samuel Somerville (Penang FC), Rodney Celvin Akwensivie (Kedah Darul Aman FC), Arif Fadzilah Abu Bakar (Terengganu FC), Shahrul Nizam Ros Hasni (Terengganu FC), S. Kumaahran (Melaka United FC) dan Darren Lok (PJ City FC) diletakkan dalam senarai simpanan.

Sementara itu, Cheng Hoe berkata Johor Bahru dipilih sebagai lokasi latihan pusat kali ini kerana kemudahan lengkap yang dimiliki JDT adalah bertaraf dunia dan yang terbaik untuk bola sepak di negara ini.

“Fasiliti JDT merupakan sebuah pusat latihan berprestasi tinggi dan sudah tentu saya mengharapkan sesuatu yang terbaik dapat dihasilkan oleh skuad kebangsaan kerana persiapan bagi tiga perlawanan terakhir ini cukup penting.

“Pusat Latihan JDT ini juga memiliki pusat kecergasan dan perubatan mereka sendiri, selain dapat memenuhi keperluan untuk latihan diadakan dalam pelbagai jenis permukaan padang dan ia terletak berdekatan dengan hotel penginapan pasukan.

“Dengan mengambil kira pandemik COVID-19 yang telah  menjejas persiapan kami sejak lebih setahun lalu, skuad Harimau Malaya sudah tentu memerlukan setiap kelebihan yang ada dalam persiapan yang cukup singkat ini dan semuanya dapat kami lakukan di pusat latihan serba lengkap ini,” jelasnya.

Beliau berkata tempoh sembilan hari itu cukup penting untuk meningkatkan semula persefahaman para pemainnya sama ada di dalam dan juga di luar padang kerana tidak banyak masa apabila berkumpul pada Mei nanti.

“Jadi kesempatan yang ada ini akan saya gunakan sepenuhnya untuk memberitahu pemain tentang perancangan kita pada Mei nanti supaya semua sudah bersedia dan benar-benar fokus untuk aksi bertemu UAE (3 Jun), Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun) itu,” tambahnya.- Bernama

SENARAI PENUH
HARIMAU MALAYA

BIL
NAMA
UMUR
PASUKAN
1.
MOHD FARIZAL MARLIAS
35
JDT FC
2.
MATTHEW DAVIES
26
JDT FC
3.
MOHAMAD AIDIL ZAFUAN ABD RADZAK
34
JDT FC
4.
ADAM NOR AZLIN
25
JDT FC
5.
LA’VERE CORBIN-ONG
30
JDT FC
6.
MUHAMMAD RAMADHAN
21
JDT FC
7.
MOHAMED SYAMER KUTTY ABBA
24
JDT FC
8.
MOHD AFIQ FAZAIL
27
JDT FC
9.
MUHAMMAD DANIAL AMIER NORHISHAM
24
JDT FC
10.
MUHAMMAD NAZMI FAIZ MANSOR
27
JDT FC
11.
MUHAMMAD AKHYAR ABDUL RASHID
22
JDT FC
12.
MOHAMADOU SUMAREH
27
JDT FC
13.
MUHAMMAD SYAFIQ AHMAD
26
JDT FC
14.
MOHD KHAIRULAZHAN MOHD KHALID
32
SELANGOR FC
15.
MUHAMMAD SYAHMI SAFARI
23
SELANGOR FC
16.
BRENDAN GAN
33
SELANGOR FC
17.
MUHAMMAD SHAHREL
27
SELANGOR FC
18.
MUHAMMAD RAHADIAZLI RAHALIM
20
TERENGGANU FC
19.
MOHAMAD FAISAL ABDUL HALIM
23
TERENGGANU FC
20.
SHAHRUL MOHD SAAD
28
PERAK FC
21.
GUILHERME DE PAULA
35
PERAK FC
22.
MUHAMMAD FAZLY MAZLAN
28
SRI PAHANG FC
23.
MUHAMAD NOR AZAM
26
SRI PAHANG FC
24.
KHAIRUL FAHMI CHE MAT
32
MELAKA FC
25.
MOHD RIZAL MOHD GHAZALI
29
KEDAH FC
26.
MUHAMMAD IRFAN ZAKARIA
26
K. LUMPUR FC
27.
LUQMAN HAKIM SHAMSUDIN
19
KV KORTRIJK (BELGIUM)
28.
NORSHAHRUL IDLAN TALAHA
35
S’WAK UNITED FC

Suara Sarawak